Semua pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar perlu berani melakukan perubahan untuk menukar pemimpin negara agar dilihat berjiwa besar dan terus dikenang dalam sejarah politik tanah air.
Pengerusi Gabungan Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, jika pengundi gagal mengambil peluang dalam PRK kali ini kedua lokaliti itu gagal mencetuskan peluang perubahan pada landskap politik negara.
“Orang Kuale dan Sungai Besar mesti berjiwa besar kalau nak lihat perubahan besar kalau tidak keadaan tidak berubah.
“Orang Kuale dan orang Sungai Besar diberi peluang untuk dikenang dalam sejarah di kalangan mereka yang mencetuskan perubahan ini.
“Jika gagal mengambil peluang yang datang bergolek ini, pengundi tidak akan dapat peluang yang sama dilain masa.
“Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan jadi seperti hari-hari biasa jika calon BN menang.
“Orang tak akan ingat Sungai Besar dan Kuala Kangsar lagi.
“Tetapi orang akan ingat Sungai Besar dan Kuala Kangsar sampai bila-bila jika pengundi berani katakan sesuatu terhadap BN melalui undi mereka pada PRK kali ini,” ujarnya kepada Malaysia Dateline malam semalam di Sungai Besar.
Kamarul berkata, akar umbi Umno terlalu lama di dua parlimen berkenaan lebih-lebih lagi di Parlimen Sungai Besar yang sudah tiga penggal.
Justeru beliau meminta pengundi keluar daripada kepompong keselesaan BN untuk membawa perubahan dalam landskap politik yang lebih baik berbanding di bawah penguasaan Umno-BN.
“Kekuatan akar umbi Umno sudah terlalu lama. Jika mereka tidak mahu keluar dari kepompong Umno bermakna mereka tidak mahu berjiwa besar,” ujarnya.
Beliau berkata, pemimpin dan ahli Umno sendiri secara tidak langsung sudah menolak kepimpinan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Ini jelas katanya dicernakan dengan ketiadaan poster perdana menteri itu dengan calon-calon BN yang bertanding di dua PRK kali ini sebagaimana kebiasaan kempen BN sebelum ini.
“Isyarat yang jelas hari ini orang keliling di kalangan penyokong tegar Umno menyedari Najib kini libility pada Umno-BN tetapi mereka enggan mendedahkan hal dalaman sebenar, walaupun mereka menyatakan sokongan kepada perdana menteri tetapi mereka beretorik semata-mata.
“Dalam hati calon BN dan pengundi pada PRK kali ini telah menolak kepimpinan Najib. Calon BN menyokong atas sebab tertentu tetapi pada hari berkempen dan mengundi mereka menyedari bahawa kelibat Najib tidak perlu muncul di kawasan parlimen yang ditandingi calon BN.
“Inilah kali pertama dalam sejarah politik tanahair dan pilihan raya sebagai seorang presiden parti, gambarnya tidak dicetak dan digantung sebagai banting atau banner dalam PRK kali ini.
“Dulu calon berbangga dengan presiden sekarang calon BN pun tidak berani nak bergambar sebelah PM takut hilang undi,”dakwnya.
Deklarasi Rakyat
Mengulas mengenai perkembangan Deklarasi Rakyat di dua PRK kali ini, Kamarul berkata, dengan kehadiran Penaung GKCM Tun Dr Mahathir Mohamad dalam siri kempennya minggu lalu telah melonjakkan jumlah tandatangan borang deklarasi Rakyat “Selamatkan Malaysia”.
“Pada PRK kali ini kita buka kaunter untuk menandatangani deklarasi secara berterusan sepanjang kempen Tun Mahathir
“Saya pasti keputusan PRK sama ada positif atau negatif, saya pasti akan terus melonjakan deklarasi rakyat untuk menyemarakkan lagi momentum betapa perlu perubahan terhadap negara dilakukan oleh pengundi di sini dan rakyat amnya.
“PRK ini macam batu loncatan untuk kami terus mengumpulkan jumlah tandatangan.
“Saya fikir masyarakat di Malaysia mereka sedang memerhatikan apa yang sedang berlaku di kedua parlimen ini,” ujarnya.
Justeru Kamarul Azman begitu optimis bahawa sekiranya keputusan yang diharapkan gabungan itu untuk menentukan perubahan kepimpinan negara akan terus berlaku sebelum menjelangnya PRU ke-14.
“Jika keputusan memihak kepada Pakatan Harapan, akan berlaku lonjakan momentumnya.
“Jika pengundi di parlimen berkenaan gagalterjemahkan kehendak masyarakat di malaysia, GKCM akan main memainkan peranannya dengan lebih aktif lagi.
“Ini untuk menentukan bahawa perubahan kepimpinan negara akan terus berlaku sebelum tibanya pilihan raya umum kelak.
“Kita akan pelbagaikan pendekatan dan strategi untuk lebih agresif,” ujarnya.
Kamarul juga menafikan calon bebas Izat Bukhary Amir di Parlimen Kuala Kangsar adalah calon Tun Mahathir seperti digembar-gemburkan setelah Izat turut hadiri majlis bersama bekas perdana menteri itu dan telah menandatangani Deklarasi Rakyat.
Sebelum itu calon Amanah Azhar Ab Shukur telah menandatangani borang deklarasi rakyat di Sekinchan.
Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,655 dan di Parlimen Kuala Kangsar sejumlah 32,949 pengundi berdaftar.
Di Sungai Besar calon BN Budiman Mohd Zohdi akan ditentang calon Amanah Azhar Ab Shukur dan calon Pas Dr Abdul Rani Osman.
Di Kuala Kangsar calon BN Datin Mastura Md Yazid akan ditentang calon Amanah Dr Ahmad Termizi Ramli, calon Pas Dr Najihatussalehah Ahmad dan calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Hari pembuangan undi pada 18 Jun ini.