Ahmad Bashah lepasan SPM, Mukhriz malas balik kawasan, kata Lokman

Oleh MALAYSIADATELINE

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam berkata jentera siber mula menyerang latar belakang Ahmad Bashah yang dikatakan hanya berpendidikan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

“Telatah jentera siber Mukhriz ini mengelikan hati saya.

“Sedarkah jentera siber Mukhriz ini bahawa tindakan mereka ini mengaibkan bos mereka sendiri.

“Apa tidaknya, majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kedah lebih yakin dengan seorang yang berkelulusan SRP berbanding Mukhriz yang belajar sampai ke Jepun dan Amerika.

“Cuba bayangkan kalau calon yang menentang beliau mempunyai ijazah atau Phd, lagilah Mukhriz jauh ketinggalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Seri Ahmad Bashah  Adun Bakar Bata lima penggal itu  akan dilantik Menteri Besar yang baharu esok.

Menurut Lokman, pengganti Mukhriz itu sebenarnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bukan SRP seperti dihebohkan jentera siber Mukhriz.

Walaupun seorang anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Lokman lagi, hidup dengan kemewahan dan lengkap segala-galanya, Mukhriz bukanlah cemerlang sangat dalam pelajaran.

“Mukhriz bukan hanya malas balik kawasan, masa belajar dahulupun beliau bukanlah rajin sangat.

“Walaupun belajar di MRSM, SPM beliau hanya Pangkat 2. Berapa kerat sahaja pelajar MRSM yang gagal cemerlang macam beliau.

“Selepas itu Tun Mahathir hantar beliau belajar di Jepun dengan biaya sendiri. Itupun tak habis, hanya dua tahun, kemudian Tun Mahathir hantar beliau sambung belajar di US, barulah beliau dapat ijazah di sana,” katanya.

Jelasnya lagi, dalam politik, kelulusan akademik bukanlah penentu kejayaan seseorang mentadbir sesebuah negeri dengan baik.

“Seorang yang ada Phd seperti Sanusi Junid pun gagal mentadbir sebuah negeri dengan baik sehingga menjadi bahan jenaka dengan idea menanam padi atas bumbung. Malah seorang doktor perubatan yang pernah mentadbir negara selama 22 tahun juga pernah gagal untuk meraih sokongan ahli bahagiannya untuk menang G7.

“Bagi saya, sifat kebapaan yang dimiliki oleh Ahmad Basha telah berjaya menyatukan Umno Kedah sehingga berjaya merampas Kedah semula dari tangan Pas.

“Berilah peluang kepada Ahmad Bashah untuk membuktikan kemampuannya mentadbir negeri Kedah walaupun dengan kekurangan latar belakang pendidikan,” katanya.