Ahmad Maslan tidak setuju SOP kempen PRN Melaka

Oleh KIM SYAZIE

Datuk Seri Ahmad Maslan (Umno-Pontian) membantah tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghadkan aktiviti pilihan raya di Melaka seperti ceramah kelompok sepanjang tempoh berkempen.

Beliau berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan itu dengan menggunakan alasan bimbang dijangkiti varian delta, tidak dapat diterima.

“Varian delta dijadikan alasan untuk SOP di Melaka yang agak tidak boleh terima oleh saya sendiri sebagai anggota kerajaan.

“Saya tak boleh terima (apabila) sebarang aktiviti berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan. tanggapan itu terlalu luas.

“Kita nak buat pilihna raya tapi sebarang aktiviti mengenai pilihan raya tak boleh dibuat,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menambah, hasil rujukan di laman sesawang KKM, varian delta jarang menjangkiti individu yang sudah pun divaksin.

Jika dijangkiti, individu berkenaan tidak akan mengalami gejala teruk dan mungkin tidak perlu ke hospital, katanya memetik maklumat KKM.

Justeru beliau menegaskan agar kerajaan melakukan semakan semula dengan membenarkan kempen secara rumah ke rumah atau ceramah kecil-kecilan.

“(Tentang varian delta itu ada) dalam laman sesawang KKM tapi ia dijadikan alasan untuk tidak boleh dijadikan sebarang aktiviti ketika pilihan raya Melaka

“Saya harap ia disemak semula oleh kerajaan supaya ada perkara yang dibolehkan seperti rumah ke rumah, ceramah kecil kecilan, atau pertemuan kecil kecilan yang sepatutnya boleh dibenarkan,” katanya lagi.