Kebanyakan maahad tahfiz beroperasi dengan dana pemilik serta sumbangan orang awam, jadi apabila akaun dibekukan maka sukar untuk meneruskan ia.
Berdepan pelbagai isu termasuk masalah kewangan, pendakwah selebriti, Ahmad Husam Muhamad Baderudin merancang untuk menutup operasi tiga maahad tahfiz.
Segala masalah dikatakan bermula apabila akaun bank Yayasan Ar Riyaadah diurusnya dibekukan pihak berkuasa lapor Harian Metro.
Ini menyebabkan Ahmad Husam terpaksa menjual tanah dan membuat pembiayaan semula pinjaman rumah bagi membayar gaji kakitangan.
Dalam satu ceramah yang dimuat naik di media sosial, Ahmad Husam memaklumkan ada pihak tak berpuas hati dan membuat laporan polis hingga menyebabkan akaun dibekukan.
“Saya rasa maahad tahfiz ini tak lama, sebulan dua lagi saya akan tutup operasi sepenuhnya sebab ada macam-macam masalah. Macam-macam orang kacau, orang tak puas hati nak duit kami mereka buat laporan polis.
“Nak duit anak yatim, nak duit pelajar tahfiz, pergi buat laporan polis. Lepas tu akaun kami sekarang kena beku, tak boleh guna duit (dalam akaun). Jadi saya fikir sudah sampai masa dan ketika untuk saya tutup sekolah, saya pun sudah letih.
“Saya sudah bincang dengan kakitangan dan akan maklumkan kepada asnaf, warga emas, anak yatim, fakir miskin, yang saya akan tolong mereka bulan ini saja lagi.
“Selepas itu akan tutup semua, dah tak buka sekolah, tak jaga anak yatim dan fakir miskin,” katanya dalam ceramah yang dimuat naik dalam akaun media sosialnya.
Dalam pada itu, Ahmad Husam memaklumkan dia hanya mahu fokus untuk beri ceramah sahaja dan tidak menguruskan hal lain.
Katanya, beliau terpaksa membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengelak dari terus diganggu.
“Sebab (terpaksa tutup operasi maahad tahfiz) kerana akaun bank kami kena beku dua bulan, bulan pertama duit ada lagi untuk bayar gaji, bulan kedua saya jual tanah.
“Bulan ini, Insya-Allah saya akan akan ‘refinance’ rumah untuk bayar gaji semua.
“Lepas itu saya akan tutup, cawangan maahad tahfiz saya di Alor Setar juga tutup dua minggu kerana pelajar belajar dalam gelap kerana bil elektrik tak dapat bayar.
“Saya dah letih, saya nak fokus ceramah sahaja, itu pun kalau orang panggil. Saya tak larat diganggu sampai terpaksa buat laporan SPRM dan SPRM tangkap orang yang nak duit itu, selepas ini kena jumpa polis lagi,” tambahnya.
Pada 5 November tahun lalu, seorang aktivis politik antara tiga lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah.
Baca juga: Caprice dedah bukti insiden pempengaruh hilang di Indonesia palsu, ‘pelakon’ tak dibayar