Akhirnya Malaysia diiktiraf dunia, tersenarai sebagai negara Islam paling ‘perform’

Oleh KIM SYAZIE

Malaysia akhirnya mempunyai pencapaian yang boleh dibanggakan setelah diiktiraf sebagai antara negara majoriti Islam terbaik.

Berita itu disampaikan oleh pengasas laman web yang menjalankan kajian Indeks Keislaman iaitu ahli ekonomi, Hossein Aksari.

Menurut Aksari, kajian yang dijalankan syarikatnya mendapati Malaysia berada di kedudukan ke-43 daripada 149 buah negara.

Namun begitu, Malaysia merupakan negara majariti Islam yang berjaya menduduki tempat terbaik dalam senarai Indeks Keislaman 2022 itu.

Percaya atau tidak, negara yang berjaya mendapat tempat teratas dalam Indeks itu adalah Denmark dengan skor 8.87, diikuti oleh Ireland (8.83) dan Belanda (8.78).

Antara faktor yang menentukan kedudukan adalah pencapaian dari sudut ekonomi, perundangan, tadbir urus negara dan juga hak asasi manusia.

Berada di dalam kedudukan yang stabil dari tahun ke tahun, Malaysia berjaya memperoleh markah sebanyak 6.29, lapor Malay Mail.

Aksari memaklumkan bahawa kedudukan Malaysia dapat diperbaiki dengan memperbanyakkan usaha dalam membanteras rasuah.

Kerajaan juga perlu bersifat lebih adil dalam hak asasi manusia tanpa diskriminasi atas dasar jantina, etnik atau agama.

“Walaupun Malaysia sekali lagi antara negara Islam terbaik dalam soal kedaulatan undang-undang, namun masih banyak penambahbaikan perlu dilakukan.

“(Hal ini bagi) memastikan sistem perundangan berjalan dengan adil, saksama dan bebas dari campur tangan ahli politik yang mengamalkan rasuah,” katanya.

Tambah Aksari, sistem tadbir urus negara juga perlu diperbaiki dengan memberi ‘suara’ kepada semua rakyat tidak kira bangsa, etnik atau agama.

Baca juga: Kemenangan buat PKR, Zuraida diperintah bayar RM10 juta kerana lompat parti