Akhirnya, Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri mengaku apa sebenarnya punca masalah air di Kelantan.
Menteri Alam Sekitar dan Air itu mendedahkan, masalah utama bekalan air di Kelantan bertitik tolak daripada kelemahan tadbir urus dan kedudukan kewangan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), anak syarikat kerajaan negeri Kelantan yang tidak mampan.
Perkara ini, katanya, menyebabkan AKSB menghadapi kesukaran untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air yang berkualiti kepada penduduk Kelantan.
Tuan Ibrahim membuat pengakuan ini dalam jawapan bertulis ke atas pertanyaan lisan yang dibuat oleh Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR – Setiawangsa) di Dewan Rakyat minggu lalu.
Hari ini, Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa menyiarkan jawapan bertulis itu di laman facebook beliau.
“Menteri Air dedah rahsia masalah air di Kelantan,” tulis Husam dalam facebook beliau petang ini sambil menyiarkan jawapan penuh Tuan Ibrahim itu.
Kata Husam, akhirnya apa yang beliau sebut mengenai punca masalah air di Kelantan sedikit terjawab: “Masalah utama bekalan air di Kelantan bertitik tolak daripada KELEMAHAN TADBIR URUS….”
“Itu lah sebab saya memaksa diri menegur perjalanan AKSB semenjak saya masih dalam Kerajaan Negeri.
“Kemuncaknya adalah saya berhadapan dengan Dato Tuan Ibrahim selaku Timbalan Presiden Pas yang mempengerusikan pertemuan saya dengan Dewan Harian Pas Malaysia pada tahun 2015,” katanya.
Namun, katanya, teguran beliau bersama salinan dapatan audit ke atas Aksb,, tidak pun diambil peduli.
“Allah Maha Berkuasa. Apa yg saya tegur dulu disahkan oleh YB Menteri sendiri tujuh tahun kemudian,” katanya.
Husam mendakwa, kelemahan tadbir urus ini turut dilindungi oleh orang politik.
“Terus terang saya katakan, ia turut didalangi dan di lindungi oleh orang Politik.
“Selagi pemimpin sedemikian tidak dibersihkan, saya yakin masalah AKSB tetap tidak akan berakhir,” katanya.
Apa pun cadangan penyelesaian dan berapa pun bajet yang diberikan, selagi semua cadangan dan bajet yang dipohon dibuat dalam kerangka tujuan tersembunyi sedia ada, ia tidak banyak membantu Rakyat Kelantan mendapat bekalan air terbaik dalam masa yang dekat, katanya.
“Apa pun, terima kasih kepada YB Menteri Air yang akhirnya berani menyerlahkan sedikit kebenaran.
“Soalan saya pada Pak Menteri, apa tindakan ke atas semua tingkat pengurusan AKSB itu sendiri yang dikenal pasti mengalami masalah KELEMAHAN TADBIR URUS dengan makna yang luas itu?” tanya beliau.