Seorang ayah muda di Miami, Amerika Syarikat (AS) maut ditembak anaknya sendiri yang berusia dua tahun secara tidak sengaja akibat lalai menjaga pistol yang dimiliki.
Lapor AFP, polis mulanya tiba di rumah mangsa, Reggie Mabry, 26, selepas menerima panggilan 911 pada 26 Mei lalu.
Ketibaan polis di lokasi tragedi menyaksikan ibu kanak-kanak lelaki itu, Marie Ayala sedang berusaha menyelamatkan suaminya.
Penguatkuasa undang-undang Orange County, John Mina menyatakan pada awalnya mangsa didakwa telah menembak dirinya sendiri.
Walau bagaimanapun, anak sulungnya kemudian memberitahu penyiasat bahawa picu pistol ditarik oleh adik lelakinya yang berusia dua tahun.
Difahamkan, pistol itu berada dalam beg yang ditinggalkan Mabry dan kanak-kanak itu ternampak lalu menembak bapanya di belakang semasa bermain permainan video di komputer.
“Disebabkan pemilik senjata api yang tidak menjaga senjatanya, dengan hanya sesaat saja, satu tragedi boleh berlaku di rumah.
“Kini, kanak-kanak kecil ini telah kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka. Bapa mereka telah mati.
“Ibu berada dalam penjara dan seorang anak kecil terpaksa menjalani kehidupannya dengan mengetahui bahawa dia menembak bapanya,” katanya.
AFP turut melaporkan dipetik BH, kedua-dua ibu bapa itu juga sedang berada dalam pemerhatian polis susulan beberapa kesalahan pengabaian kanak-kanak dan penggunaan dadah.
Kes maut terbaharu membabitkan pistol itu berlaku ketika AS hangat dengan isu peraturan senjata api selepas beberapa siri tembakan besar-besaran di pasar raya, hospital dan sekolah rendah.
Baca juga Melayang lebih RM11,000, pekerja kilang putih mata diperdaya pelacur