Nama pempengaruh, Akmal ‘Old Money’ kembali menjadi topik perbincangan hangat di laman media sosial selepas dikhabarkan membuat sumbangan puluhan ribu ringgit di sebuah masjid di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.
Sumbangan berjumlah sekitar RM20,000 itu difahamkan diserahkan kepada pihak masjid bagi urusan penyediaan santapan berbuka puasa buat jemaah untuk satu hari di bulan Ramadan.
Dalam masa satu hari, masjid tersebut akan menyediakan hidangan untuk jemaah berbuka puasa sebanyak 40 sesi yang mana Akmal membelanjakan wang dengan jumlah sedemikian bagi menempah kesemua sesi.
Perkara itu didedahkan menerusi hantaran dimuat naik di platform Thread oleh seorang pengguna dikenali sebagai Azmir yang mengetahuinya selepas melihat satu papan kenyataan di masjid.
Azmir turut berkongsikan gambar papan kenyataan yang memaparkan senarai infak berbuka di bulan Ramadan di mana nama Akmal Old Money telah memenuhi kesemua ruangan slot untuk satu hari.
“Mantap Akmal Old Money. Infaq berbuka satu hari terus untuk 40 sesi dengan jumlah RM20,000. Hormat (dengan tindakan pempengaruh terbabit),” tulis Azmir di dalam hantaran tular berkenaan.

Setiap sesi infak berbuka puasa dan moreh itu berharga RM500 dan apabila Akmal membuat sumbangan untuk 40 slot, juadah berkenaan dapat dinikmati lebih daripada 1,000 jemaah masjid.
Jemaah lain daripada masjid berkenaan kemudian turut mendedahkan bahawa pempengaruh itu merupakan individu terawal yang menempah slot untuk memberikan infak berbuka puasa.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna meluah rasa kagum dengan tindakan Akmal kerana sanggup membelanjakan wang sebanyak puluhan ribu ringgit untuk memberikan infak.
Ramai juga pengguna tampil memuji Akmal kerana di dalam diam-diam telah memberi infak tanpa membuat hebahan di media sosial walaupun pengikutnya kini ramai setelah ikut serta di dalam kandungan Old Money.
Beberapa individu bagaimanapun merasa kurang senang ekoran Akmal malah menggunakan nama ‘glamor’ ketika membuat sumbangan sedangkan perbuatan sedemikian lebih afdal untuk disembunyikan.
Baca juga: Nak anak membesar secara normal, Ernie Zakri bawa Khawla pergi bazar