Kerajaan dicadang agar pegangan ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB) yang ketika ini dimiliki 100 peratus oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan), dijual kepada syarikat-syarikat telekomunikasi.
Ia ekoran syarikat-syarikat telekomunikasi utama seperti Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile enggan menyertai jaringan 5G yang telah dibangunkan oleh DNB, syarikat milik penuh kerajaan.
Menurut Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil, DNB harus ditukar dan diganti menjadi satu konsortium yang dibentuk oleh semua syarikat telekomunikasi di Malaysia, dan dengan itu pelaksanaan 5G boleh digerakkan secara kolektif.
Ketika ini Faiz berkata, Malaysia ketinggalan jauh di belakang dari negara-negara jiran apabila Singapura sudah mempunyai akses 5G meliputi dua-pertiga negara pulau itu.
Di Indonesia pula, jaringan 5G sudah wujud sejak Jun 2021 menerusi tiga syarikat telekomunikasi, manakala di Thailand, syarikat telekomunikasi terbesarnya telah menawarkan liputan 5G di 76 peratus lokasi negara itu setakat tahun lepas.
“Oleh itu, kerajaan digesa untuk memastikan akses 5G sampai segera kepada rakyat dan sektor perniagaan. lagi lama masa diambil, Malaysia akan lebih ketinggalan dalam Revolusi Industri 4.0.
“Memandangkan 5G ini adalah “komoditi awam”, kerajaan dicadangkan untuk memegang saham emas dalam konsortium baharu ini.
“DNB berpotensi menjadi kegagalan mega kedua terbesar selepas 1MDB jika gagal diuruskan dengan baik. Bahkan jaringan 5G tidak akan dapat digerakkan tanpa kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama Faiz berkata, memandangkan DNB merupakan milik penuh kerajaan, kemungkinan berlakunya penyelewengan dan pemberian kontrak kepada kroni menjelang PRU15 turut wujud.
Bahkan katanya, jika benar 5G lebih efektif dibangunkan menerusi syarikat milik kerajaan, sudah pasti negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Korea Selatan telah mengguna pakai konsep yang sama.
Namun, negara-negara itu telah menjalankan bidaan secara terbuka dan meraih hasil berbilion dolar.
Dalam pada itu Faiz berkata, penyertaan kesemua telekomunikasi dalam pelaksanaan 5G menerusi konsep konsortium adalah cara terbaik pada ketika ini.