Aksi ‘pandu lalu’ Rakyat Tuntut Tiga bantah harga barang naik melampau

Oleh ARIF ATAN

Konvoi kempen Rakyat Tuntut Tiga anjuran Biro Kepenggunaan Pejuang hari ini berlangsung sebagai isyarat kepada kerajaan untuk serius menangani kenaikan harga barangan yang melampau.

Wakil gerakan itu berkata, aksi unjuk rasa secara pandu lalu oleh kumpulan terbabit berlangsung di hadapan Sogo di ibu negara petang tadi.

Seawal jam 4 petang tadi, pihak polis berkwaal di perkarangan Sogo manakala pihak premis terbabit mengeluarkan notis larangan berhimpun.

Sekurang-kurangnya empat kenderaan berpelekat Pejuang lalu di hadapan perkarangan Sogo sambil membunyikan hon kenderaan masing-masing.

“Rakyat Tuntut Tiga diterhadkan kepada kumpulan yang kecil dan mematuhi undang-undang,” kata pihak penganjur.

Rakyat Tuntut Tiga melibatkan tuntutan iaitu kawalan harga siling, kawal selia dan penguatkuasaan berterusan serta kartel dihapuskan untuk menghapuskan monopoli.

“Kita tidak lagi sebaris dengan negara besar lain. Kalau bukan kita yang berubah, siapa lagi?

“Kami teruskan kempen ini melalui media sosial supaya kenaikan harga barang ini tidak diambil mudah.

“Saya ada kawan yang setiap hari memikirkan nak makan apa. Justeru, kita kita minta KPDNHEP mengambil tindakan cepat untuk tolong rakyat,” kata wakil terbabit lagi dalam sidang media hari ini.

Wakil Kempen Rakyat Tuntut Tiga mendesak kerajaan mengatasi masalah kenaikan harga barangan.