“Aku bekas banduan Penjara Wanita Kajang, jumpa ramai penghuni bunuh anak sendiri”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita berjaya mencuri perhatian ramai selepas berkongsi pengalamannya ketika menjadi penghuni di Penjara Wanita Kajang, Selangor selama dua tahun.

Tanpa mendedahkan identitinya, wanita itu memberitahu bahawa ramai penghuni dimasukkan ke penjara tersebut kerana mencederakan zuriat mereka sendiri hingga maut.

Mungkin mahu perkongsiannya itu dijadikan pengajaran, berikut pendedahan bekas penghuni penjara mengenai banduan yang melakukan kesilapan ketika sedang marah.

“Saya pernah menjadi penghuni Penjara Wanita Kajang selama dua tahun. Macam-macam jenis orang yang saya jumpa. Mereka masuk penjara dengan pelbagai jenis kesalahan. Apa yang mengejutkan saya adalah ramai penghuni masuk sebab bunuh anak sendiri. Selalunya perkara ini saya baca di dalam surat khabar sahaja.

“Ini kena hadap sendiri depan mata dan bergaul dengan mereka. Mula-mula masuk, saya berkawan sahaja dengan semua penghuni. Waktu itu, saya tak ambil tahu pun latar belakang masing-masing. Sebabnya, masa silam saya sendiri pun buruk juga. Kalau tak, tiadalah sampai masuk penjara. Selari waktu berjalan, barulah tahu semua cerita.

“Tak sangkalah orang yang nampak normal dan baik dengan saya, rupanya sanggup bunuh anak sendiri. Ini bukan mak-mak zalim yang dera anak. Tetapi jenis mak yang sangat sayangkan anak. Namun bila tiba waktu jiwa terganggu, mereka jadi marah sangat sehingga tak sedar apa yang diri sendiri telah lakukan.

“Macam seorang penghuni ini ada masalah kewangan, tempoh kelahiran anak-anak pula terlalu rapat. Suaminya juga langsung tak membantu. Satu hari, salah seorang anaknya mengamuk ketika waktu makan. Emosi dia terganggu ketika marahkan anak sampai tergamak hempas kanak-kanak itu ke dinding.

“Kemudian ada seorang kakak ini, dia memiliki anak tunggal lelaki tetapi teringin nak zuriat perempuan. Dia cakap dengan suami nak ambil anak angkat. Kakak ini seorang suri rumah, tetapi gaji suami dia besar. Suatu hari, suami dia bawa balik dua beradik perempuan. Kata suaminya, ada orang kampung yang tak mampu jaga.

“Jadi mereka berikan kepada orang lain buat dijadikan anak angkat. Semua dokumen, suami kakak itu yang selesaikan. Gembiralah kakak itu, dia sayang sangat-sangatlah kepada dua orang anak perempuan baharu mereka itu. Kemudian, sampailah waktu salah seorang daripada anak angkat itu nak masuk Darjah Satu.

“Sebelum ini semua urusan, suami kakak itu yang selesaikan. Tetapi apabila anak ini nak masuk sekolah, kakak itu jadi sangat teruja. Dia buat keputusan untuk kendalikan semua sendiri. Cari dokumen, surat beranak dan sebagainya. Sekali, nama dua-dua anak perempuan itu berbintikan suaminya sendiri pada surat beranak.

“Rupanya anak angkat yang dijaga selama ini adalah zuriat suami dia sendiri dengan perempuan lain yang berasal dari Thailand. Kakak itu punyalah marah kepada suami dia. Tetapi yang ada di depan mata hanya si adik iaitu salah seorang anak suaminya. Di luar kesedaran, kakak itu pukul si adik sepuas hati sampailah lunyai.

“Akhirnya budak itu meninggal dunia seminggu selepas kejadian. Dua-dua kes yang saya cerita, anak itu dibawa pergi ke hospital. Kemudian pihak hospital yang hubungi polis sebab ada kesan dera. Di dalam penjara itu juga, saya sempat mengenali penghuni lain yang tak insaf dengan perbuatan mereka. Bencikan banduan dan warden. 

“Suka cakap besar dan cari gaduh. Buli orang yang tiada keluarga untuk masukkan duit. Banduan itu akan suruh penghuni lain basuhkan baju dan berikan upah makanan yang tak seberapa.” Kongsi bekas banduan terbabit menerusi satu hantaran di platform media sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).

Baca juga: Demi karipap kambing, wanita mengandung sanggup ke penjara Kajang 3 hari berturut-turut