“Aku jarang balik lepas kahwin, sekali mak abah aku ‘share’ video anak derhaka, tak kenang budi…”

Oleh MAISARAH AISYA

Apabila anak sudah berkeluarga maka janganlah bebankan mereka dengan hal remeh sedangkan benda tersebut boleh diselesaikan.

Masih wujud ibu bapa yang mengongkong anak walaupun mereka sudah besar dan mampu melaksanakan hal tanpa campur tangan mereka.

Seorang wanita meluahkan rasa sedih akan sikap ibu dan bapa tirinya yang masih tidak berpuas hati kerana dia memilih jalan hidup sendiri.

Di bawah adalah perkongsian tersebut.

Nama aku Raisa (bukan nama sebenar), sekarang umur 34, anak sulung, dah berkahwin dan dikurniakan dua orang anak.

Ibu (mak kandung) dan ayah (ayah kandung) bercerai waktu aku umur tujuh tahun dan sepanjang lebih kurang 10 tahun aku dibesarkan oleh atok dan nenek.

Sebab ibu tinggalkan kami untuk sambung belajar, ayah duduk jauh. Kami dua beradik tinggal semula dengan ibu bila ibu dah berkahwin dengan abah (ayah tiri).

Latar belakang pekerjaan ibu dan abah adalah bidang pendidikan. Kami dua beradik dididik dengan sangat keras supaya kami disiplin.

Pernah adik aku dirotan hanya sebab baca majalah kuntom waktu study. Bangun seharusnya awal pagi, semua pekerjaan rumah kami kena buat.

Kawan dengan siapa semua ibu dan abah kawal. Kami dua beradik memang tak pernah melawan cakap mereka.

Bahkan aku sebagai anak sulung ikut kehendak ibu dan abah yang mahukan aku masuk ke SBP.

Paksa pilih bidang pendidikan

Waktu di universiti pun jurusan yang aku ambil ialah bidang yang ibu aku pilih. Kehendak mereka nak aku masuk ikut jejak langkah jadi guru.

Tapi sebab aku tak minat, jadi aku lari bidang ke bidang kesihatan. Habis belajar, aku start kerja di luar daerah.

Waktu bujang dulu aku setiap minggu tak pernah miss untuk balik waktu aku cuti walaupun cuti sehari.

Gaji aku habis dengan kos perjalanan pergi dan balik kampung dan jajan untuk adik-adik je. Tapi aku tak pernah berkira. Aku anggap tu semua pahala untuk aku.

Selama aku membesar, aku ingat dah cukup banggakan ibu abah sebab aku dapat result yang baik dari SBP sampai habis degree, sampai dapat kerja ikut apa yang ibu abah suruh. Rupa-rupanya tidak. 

Tiada rasa bangga dengan anak

Bila waktu PKP, aku terkandas. Buntu sebab selalu setiap minggu aku dapat balik, tapi pergerakan aku terbatas sebab PKP. Aku hari-hari call ibu abah.

Satu hari aku call abah, aku cakap aku homesick. Aku rindu rumah.

Abah balas “tu lah kau. Siapa suruh kerja hospital. Kalau ikut cakap abah dulu jadi cikgu dah senang dah cuti ikut sekolah”.

Titik terendah dalam hidup aku bila aku dewasa bila mana aku rasa aku dah banggakan dorang. Rupanya aku salah.

Sejak dari tu, aku dah jarang meluahkan pada dorang rasa susah aku. Dari dulu lagi kami memang tak pernah nak meluah isi rasa hati kami sebagai anak.

Apatah lagi dapat peluk, ciuman dari ibu abah sebab dididik secara keras dari kecik.

Bila aku nak berkahwin, seboleh-bolehnya nak aku kahwin dengan anak kawannya sebab dekat dengan rumah dorang. Tapi aku menolak sebab aku ada calon sendiri.

Bila dah kahwin, aku masih cuba balik sekerap mungkin contohnya dua minggu sekali. Kadang aku balik seorang diri sebab suami sibuk kerja hujung minggu.

Suami tak pernah halang sebab dia faham. Awal perkahwinan, abah masih control pergerakkan aku.

Ada satu hari aku dengan suami balik rumah ayah (ayah kandung) tanpa pengetahuan ibu abah, mereka merajuk. Tak bertegur, tinggi suara dan mengungkit.

Muat naik video anak derhaka

Sekarang. Ibu abah dah mula share kat status whatsapp pasal video-video ceramah yang pasal anak derhaka. Anak tak kenang budi, anak tak nak balik tengok mak ayah, anak yang tak berjasa pada mak ayah.

Aku tau semuanya tu tuju pada aku dan adik. Adik aku yang kat rumah pun selalu kena marah sebab tak ikut cakap dorang padahal adik aku sekarang dah umur 30 pun masih full time sambung master sebab ikut kehendak ibu abah.

Dan aku semampu aku dua minggu sekali aku cuba balik walaupun balik sorang tanpa suami. Tapi semuanya jd serba tak kena.

Mula rasa terbeban

Banyak lagi aku nak cerita tapi takut panjang sangat. Tapi aku sebagai seorang anak, yang ada dua pasang mak ayah, sepasang mak ayah mentua.

Aku juga seorang isteri yang full-time kerja allied health kat hospital isnin-sabtu, dengan anak yang aku perlu uruskan.

Aku rasa tak mampu nak puaskan hati ibu abah aku. Aku memang takkan pernah mampu nak puaskan hati dorang. Dari kecil aku tak pernah dijaga ibu aku. 

Bila nak membesar jadi remaja dididik dengan keras tapi aku tak pernah melawan. Bila dah besar, aku masih cuba ikut kehendak dorang tapi aku tak mampu.

Diri aku juga perlukan rehat. Aku juga perlu untuk priority-kan kehendak aku, suami aku. Berdosakah aku sebab aku tak mampu lagi balik seminggu sekali.

Berdosakah aku sebab aku kadang lebihkan side ayah atau side mentua walaupun dua ke tiga bulan sekali.

Berdosakah aku kalau aku tak balik sekerap yang aku selalu buat waktu aku bujang. Anak derhakakah aku.

Baca juga: “Ipar berlagak kaya 7 keturunan, padahal aku yang bayar rumah mentua bulan-bulan”