Jangan pernah menilai seseorang berdasarkan kisah lampaunya, jika mereka berubah ada kemungkinan ia adalah lebih baik.
Siapa sahaja yang tidak akan berfikiran buruk apabila dijodohkan dengan seseorang yang baru keluar dari penjara.
Seorang wanita tidak menyangka jodohnya bertatu itu adalah lelaki yang melayannya bak permaisuri.

“Aku bukanlah baik, keluar masuk kelab malam dengan teman lelaki yang bersilih ganti. Itu cara aku berhibur jauh daripada kekusutan di rumah.
Aku dibenci oleh ibu kandung sendiri dan aku selalu dituduh pelacur yang ada hubungan sulit dengan bapaku sendiri sejak aku umur sembilan tahun
Semua terjadi sejak adik bongsuku dilahirkan, aku ada empat adik beradik.
Segalanya bermula sejak adik kandung ibuku kerap datang rumah ketika ibuku masih dalam pantang dan dia telah bawa cerita yang kononnya bapaku ada perempuan lain…
Aku menjadi saksi atas segala cerita-cerita yang dibawa. Tidak sangka, cerita-cerita itu semua membuatkan ibuku stress dan depress yang menyebabkan aku yang dibenci…
Parang pernah dihunus kepadaku seawal usia 9 tahun bila aku lari ke rumah saudara mara yang hanya bersebelahan, aku dihalau kerana mereka rasa terganggu jika ibuku datang cari.
Keselamatanku tiada siapa yang peduli, semua aku hadap sendirian kerana bapaku kerja luar daerah.
Aku hanya berkurung dalam bilik seharian dan hanya dapat makan pada tengah malam sebaik sahaja bapaku pulang.
Aku mula tidak bertegur sapa dengan ibuku kerana aku hanya diherdik, dimarah, dikutuk dan dihina dengan pelbagai tohmahan.
Aku berkurung sepanjang hari. Kencing pun hanya dalam botol yang aku sediakan dalam bilik kerana takut untuk keluar.
Segalanya berlanjutan hingga aku umur 17 tahun, aku mula liar dan kawan sekelas aku mula mengajar tentang ‘sugar daddy’.
Yang menjagaku adalah sahabat baikku. Walaupun dia ambil dadah dan arak, dia sangat-sangat melarang untuk aku mencuba. Namun, aku yang sediakala jiwa kosong telah mencuba arak.
Habis SPM, aku bekerja dan telah berkenal dengan seorang lelaki yang aku namakan Dave, dia tua dari aku 13 tahun. Sejak itu, aku makin kerap keluar masuk kelab malam mengikuti Dave…
Aku cari ketenangan dengan cara berhibur, masa tu aku selalu berdoa minta Allah izinkan untuk aku hamil anak Dave agar aku dapat kahwin awal untuk keluar dari kekusutan dalam rumah…
Tapi Allah Maha Mengetahui, aku tidak pernah mengandung walau sudah dua tahun perhubungan kami…
Pada satu hari, aku telah dapat panggilan dari seorang wanita yang mengaku teman wanita Dave.
Sejak hari itu, aku tahu Dave tidak serius denganku, dia hanya sukakan perhubungan tanpa ikatan…
Aku ambil keputusan sambung belajar jauh dari negeri kelahiranku untuk lari daripada semua masalah yang telah aku hadap dari usia sembilan tahun dan dari lelaki yang tahu mengambil kesempatan…
Masuk semester kedua, aku buat kerja partime join MLM untuk menampung perbelanjaanku, aku bukanlah dari keluarga yang senang.
Masa tu bapaku sudah tidak bekerja lagi. Waktu bekerja, aku berkenalan dengan seorang client. Aku tanya, dia suami orang atau bujang dan dia terus terang yang dia adalah duda…
Sejak dari tu aku tinggal sebumbung dengannya dan kami kerap keluar masuk kelab malam…
“Perempuan yang baik, untuk lelaki yang baik… lelaki yang jahat, untuk perempuan yang jahat.”
Seminggu tinggal sama-sama, aku dapat tahu dia bekas penagih dadah dan pernah masuk penjara, dia juga bertatu. Tiada yang dia sembunyikan dariku…
Kecuali aku, aku banyak sembunyikan kisah hidupku. Aku masih meneruskan doa-doa ku agar Allah izinkan aku mengandung agar aku dapat ikat lelaki itu…
Ya… aku ingin kahwin awal agar aku tidak perlu lagi bergaduh dengan ibuku.
Aku hendak kahwin awal sebab aku berfikir kalau aku sudah bersuami, pasti ibuku tidak lagi cemburu buta dan tidak lagi menuduhku bukan-bukan.
Sampai aku berdoa “Ya Allah… izinkanlah aku mengandung anak dia… aku berjanji andai aku mengandung, aku tinggalkan semua perbuatan yang Engkau murkai iaitu zina dan arak..”
Alhamdulillah… Allah jawab doaku… Aku mengandung selepas tiga bulan perkenalan kami. Orang lain mungkin sedih dan risau bila mengandung anak luar nikah..
Tapi pada aku, itu rahmat untukku yang Allah bagi kerana itu jalan yang aku ada untuk berdamai dengan ibuku dan keluar dari dunia kemaksiatan…
Anak itu yang aku nanti-nantikan selama ini, sebaik sahaja aku tahu aku mengandung, aku maklum teman lelakiku untuk ajak kahwin…
Dia duduk dan dia tanya aku adakah aku betul serius untuk berkahwin dengannya dan aku mengangguk tanda setuju.
Aku call bapa aku bagitau aku dah mengandung dan aku nak kahwin. Bapaku terkejut, kerana bapaku tidak tahu yang aku tunda semester dan tidak tahu aku dah tinggal bersama teman lelakiku selama itu…
Aku dinikahkan bermas kahwin Al-Quran. Sejak hari pertama aku menjadi isterinya, itulah juga hari pertama aku bertegur dengan ibuku setelah sekian lama bertahun.
Awal perkahwinan, selalu bergaduh
Sebab kenal pun tidak lama, kami masih dalam proses suai kenal hati budi masing-masing. Waktu bercinta tidak akan lagi sama sebaik sahaja kahwin
Tapi kami sama-sama usaha untuk terima kekurangan masing-masing dan cuba belajar menerima baik buruk, aku mula menutup aurat walaupun belum sempurna…
Sepanjang aku mengandung, suamiku akan bacakan surah diperutku…
Setiap malam suamiku kipaskan dan tepuk sehingga aku tertidur dengan penuh kesabaran…
Setiap hari sebelum tidur aku di ciium di dahi, mata kiri kanan, hidung, pipi kiri kanan, mulut, dagu dan leher.
Pakaian, suamiku yang basuhkan sejak awal perkahwinan. Selepas bersalin, suamiku yang tukarkan pad, kencing berak baby, suamiku uruskan…
Sehinggalah anak kami 5 orang. suamiku maish uruskan cuci kain dan urus anak-anak.
Kemana-mana, kami berpegang tangan, setiap kali waktu solat, suamiku imamkan.
Waktu tidurku dan anak-anak, suamiku tiup diubun-ubun bacaan surah Al-Qadr dan surah Insyirah.
Namun jodoh kami tak berpanjangan apabila suami dijemput tuhan selepas sembilan tahun perkahwinan.
Tapi aku bersyukur kami berdua berubah kepada kebaikan dan meninggalkan segala perkara melalaikan.
Dialah lelaki kiriman tuhan buatku dan sehingga kini dia akan bertakhta di hatiku selamanya.