“Aku pilih suami sebab latar belakang agama, tak sangka aku disajikan dengan makian setiap hari”

Oleh MAISARAH AISYA

Pada luaran dialah manusia sempurna untuk dijadikan imam hingga berjaya mengkaburi mata mereka yang sedang mengenali hati budi.

Perangai sebenar biasanya hanya terbongkar selepas berkahwin, maka keluarnya watak yang disimpan lama.

Seorang wanita tak menyangka dirinya salah percaturan selepas mengahwini suami yang dianggap sempurna.

“Ini bukan pertama kali aku dimarah dihadapan orang ramai termasuk keluarga. Hari ini di kedai makan, di hadapan ibu dan anak-anakku.

“Walau sudah sebati, air mata ini tetap jatuh. Sungguh maruah aku sebagai isteri, wanita dan ibu dipijak-pijak oleh lelaki yang telah ku pilih untuk menjadi imamku.

“Aku pilih dia sebagai suami kerana latar belakang yang ada pegangan agama dan dari keluarga yang baik-baik. Tetapi itu semua cuma pada luaran sahaja.

“Caci maki untuk aku dan anak-anak sudah biasa menjadi zikirnya. Marah hingga habis kerusi dilempar di ruang makan rumahku kerana aku lupa menutup pili air.

“Habis dimaki hamun aku dan anak-anak. Belum lagi jika anak-anak membuat silap, habis dijerkahnya. Jika dilihat dari luaran suamilah lelaki yang paling baik. Walaupun hakikatnya hanya aku, anak-anak dan ibu ku sahaja tahu.

“Punca hari ini, aku tidak bersedia menerima tetamu iaitu adik beradik dia yang lama tak pulang ke kampung.

“Aku bukan sengaja menolak. Aku penat dan lelah, tenagaku sudah habis. Aku kini bekerja tidak menentu termasuk Jumaat dan Sabtu.

“Sementelah lagi kini aku sedang mengetuai unit yang sangat sibuk. Pada setiap ruang cuti, aku mahu berehat. Tentunya ingin baring.

“Kebetulan ada cuti panjang aku mengambil kesempatan untuk bercuti balik melawat kampungku. Kerana aku menetap di kampung suami.

“Sepatutnya bekerja, tetapi aku pujuk juga ketua untuk bagi pelepasan agar boleh membawa anak-anak cuti sekolah ke kampungku. Namun aku dipaksa untuk pulang awal.

“Semua dek kerana kepulangan adik-beradik suami. Aku tidak berpuas hat. Namun terpaksa menerima kerana memikirkan suami yang mahu berjumpa adik-beradiknya.

“Yang menjadi isu adalah, suami memaksa aku membuat majlis makan-makan untuk semua ahli keluarganya.

“Padahal, seminggu yang lepas baru sahaja ada adik-beradik dia yang pulang. Aku waktu itu raikan kedatangannya dengan memasak dan menjamunya sebagai tetamu.

“Seminggu sebelum itu pun aku sentiasa menerima tetamu. Tentunya, adik beradik suami. Aku raikan. Cuma kali ini aku menolak sambil menyebut perkara di atas.

“Namun kata-kataku disalah erti, atau sengaja tidak mahu diterjemah dengan baik. Suami mula mengungkit, mengatakan aku tidak menerima tetamu.

“Katanya, setakat masak makanan ringan itu apalah sangat. Allah, apa suami sudah jadi pelupa atau sengaja buat-buat lupa. Aku sediakan makan malam untuk tetamu minggu lepas.

“Bukan setakat sediakan makanan. Aku buat dari A sehingga Z untuk raikan tetamu. Cuma kali ini sahaja aku menolak. Sebab jika menerima tetamu, aku perlu mengemas rumah.

“Rumah agak bersepah kerana sudah beberapa minggu aku keluar gelap, balik semula ke rumah pun sudah gelap.

“Itu belum lagi penat membuat juadah untuk tetamu. Melayan tetamu dan meraikan tetamu. Terus diherdiknya aku dihadapan ibu, anak-anak dengan suara yang tinggi.

“Di meja kedai makan yang dikelilingi pelanggan lain pula. Aku percaya ramai yang mendengar sehingga ibu terpaksa campur tangan meredakan amarah suami.

“Sungguh aku tahu, aku sudah silap memilih imam, aku tahu. Sangat tahu. Aku juga bukan babu,” kongsi Camar (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran yang dimuat naik olehnya di laman luahan atas talian.

Baca juga: “Adik ipar toksik, dah kahwin tapi susahkan laki aku, anak dia demam pun laki aku yang kena ambil emergency leave”