Aku, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Yassin Salleh

Oleh BORHAN AHMAD

Yassin Salleh, pengarah filem yang minat dengan politik.Pengarah filem Dia Ibuku, Yassin Salleh yang kini menyertai Parti Amanah Negara rupanya sangat terpengaruh dengan Zainudin watak utama dalam buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya ulama agung Profesor Hamka.

Itulah yang dapat saya kesan dari pertemuan pertama dengan pengarah filem hebat ini minggu lalu.

Pada mulanya saya sedikit gugup, gementar ketika duduk semeja dengan beliau. Walaupun mendapat respons yang sangat baik ketika saya menyampaikan hajat bertemu beliau melalui whatsapp, itu bukanlah tiket untuk saya terus berasa senang hati. Tugas belum pun bermula.

Dalam keadaan saya tidak benar-benar mengenali beliau, bukanlah suatu perkara yang mudah untuk terus bertanya pelbagai soalan yang tiada kaitan dengan bidang saya. Saya bukan orang filem.

Saya cuma peminat seni dan sastera, minat menulis tetapi bakat tidak setara mana. Cuma saya fikir, mungkin daripada permulaan cerita, saya akan mendapat ilham untuk bertanya soalan.

Pertama kali bertemu beliau pada April 2014, sewaktu program forum Tekad Budaya di pejabat Gerak Budaya, Petaling Jaya. Saya tidak mengenali beliau, cuma merasakan beliau memang orang ternama dalam bidang seni dan sastera apabila mendengar beliau memberikan pandangan dalam forum.

Minum di kedai mamak selepas habis forum, mendengar beliau dan kawan-kawannya berbual-bual tentang acara seni, tahulah saya bahawa beliaulah pengarah filem Dia Ibuku, sebuah filem yang ditayangkan pada tahun 1981, dan Ali Setan 2 pada tahun 1986 selain beberapa filem lain. Filem Dia Ibuku memenangi anugerah filem terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-2.

Selepas itu beberapa kali saya bertemu beliau dalam acara seni dan tahulah saya, beliau juga penyair, sudah menulis beratus-ratus puisi. Namun saya belum pernah bertemu empat mata dengan beliau.  Akhir sekali Ogos lalu, saya membaca berita yang tersebar di media sosial, beliau menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Yassin Salleh sangat terpengaruh dengan Hamka.Sabtu lalu, saya akhirnya duduk semeja dengan Yassin Salleh di rumahnya di Bandar Bukit Puchong. Ketika itu pembantu beliau, Muiz dan dua anaknya; seorang lelaki dan seorang perempuan ada di rumah.

Beliau ternyata seorang yang ceria dan peramah lalu sedikit demi sedikit rasa gementar saya hilang. Selepas saya memperkenalkan diri, beliau pula memperkenalkan diri beliau dan memberitahu, beliau lebih senang membahasakan diri sebagai Ayah ketika bercakap dengan anak-anak muda.

Sebelum saya mula bertanya soalan lagi, Ayah sudah menghadiahkan dua buku beliau, “Himpunan Puisi Siber Simfoni Sepi” dan “Kumpulan Puisi Ikan-ikan di Kaca”. Kata Ayah, dalam buku Simfoni Sepi, bekas pengerusi Media Prima, Tan Sri Johan Jaaffar ada menulis tentang beliau. Jadi saya boleh baca sahaja jika ingin mengetahui secara terperinci tentang diri beliau. Saya mula teruja dan sudah tahu ke mana harus saya bawa hala tuju perbualan.

Ayah awal-awal berpesan, perlu menguatkan suara apabila berbual dengan beliau kerana pendengarannya sedikit terjejas selepas diserang strok beberapa tahun lalu. Saya pula memang tiada masalah jika disuruh bersuara kuat.

Aku dan dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Ayah mula bercerita, beliau mula berangan-angan untuk menjadi penulis dan naik ke pentas mendeklamasi sajak ketika mendengar seseorang mendeklamasi sajak “Aku” karya penulis Indonesia, Chairil Anwar.  Mendengar beliau menyebut sajak Aku, saya tambah teruja, terus membetulkan duduk, tidak mahu terlepas satu perkataan pun dari mulut beliau.

Menurut Ayah, ketika beliau bersekolah di tingkatan dua, iaitu dua tahun selepas merdeka, kerajaan melancarkan minggu bahasa di seluruh negara dengan mengadakan pertandingan membaca sajak, berpantun, berpidato dan sebagainya. Ketika itulah Ayah mendengar sajak Aku dideklamasikan. Sajak itulah yang memukau beliau untuk menjadi penyair.

Pada tahun itu juga, beliau selalu berulang-alik dari Bentong ke Kuala Lumpur dan menumpang di rumah abangnya di Gombak. Hobi beliau berjalan-jalan di Kuala Lumpur dengan menunggang basikal.

Hinggalah pada suatu hari, seorang jiran abangnya bertanya tentang minatnya dan menghadiahkan beliau buku “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck” karya Hamka. Itulah buku sastera pertama yang dibaca oleh Ayah dan membenihkan rasa cinta beliau terhadap sastera Melayu.

“Membaca karya Hamka Ayah terus jatuh cinta kepada sastera Melayu. Terus jatuh cinta kepada hero Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Zainuddin.

“Ayah mahu menyerap nilai-nilai peribadi Zainuddin. Paling terpengaruh dengan nilai romantisme. Cara mereka bercinta antara Zainudin dan Hayati.

“Ini semua memukau seorang remaja berumur 14 tahun yang berangan-angan mahu menjadi penulis,” ceritanya bersemangat.

Ayah mula membeli akhbar Berita Harian yang menyajikan ruangan sastera pada setiap hari Rabu dan minatnya terhadap sastera semakin ranum.

Ayah dan Ziarah Karyawan

Yassin Salleh mahu generasi Y serius dalam seniSebenarnya Ayah belum pun menjawab pertanyaan saya tentang Ziarah Karyawan, satu program bicara seni, sastera dan budaya yang membicaakan karya penulis-penulis ternama tanah air. Bagaimana timbul ilham dan sejak bila ia bermula. Dalam pada ingin menjawab pertanyaan saya itu, secara tidak langsung Ayah bercerita tentang bagaimana beliau mula mencintai sastera sekaligus menjawab pertanyaan yang dari mula lagi bermain di benak saya; bagaimana beliau menjadi penyair.

Pada asasnya, Ziarah Karyawan mula diadakan apabila timbul kebimbangan terhadap kualiti dan masa depan sastera di negara ini. Wujud kerisauan terhadap keghairahan sebilangan anak muda menulis tanpa mempedulikan disiplin ilmu, disiplin bahasa itu sendiri.

Kata ayah, generasi Y terlalu obses melahirkan diri sendiri sebagai penulis siber. Menulis di facebook, twitter, blog tanpa mempedulikan kesalahan bahasa namun cepat mengaku diri seorang penyair. Saya sedikit tidak berpuas hati dengan jawapan ayah kerana saya ada pendapat sendiri. Namun saya diamkan diri, membiarkan Ayah bercerita lagi.

Sambung ayah, kegilaan tanpa disiplin ini jika dibiarkan akan menjadi racun kepada perkembangan budaya Melayu, budaya fikir dan budaya bahasa.

Ayah mengimbas kembali jerih perih beliau mula menulis, menghantar karya ke akhbar-akhbar. Tidak semudah sekarang, semuanya di hujung jari. Bermula di tingkatan dua beliau mula menulis dan sajak pertamanya tersiar pada tahun 1960 di majalah Mastika bertajuk Sumpah Durhaka.

“Dulu disiplin menulis lain. Untuk menjadi penyair, ruangan yang ada hanya Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Utusan Zaman.

“Waktu itu jika sajak engkau tidak tersiar di media engkau bukan penyair. Sekarang tulis di facebook engkau dah penyair. Dapat beratus-ratus komen,” ujar Ayah.

Maka dengan kebimbangan itulah lahirnya Ziarah Karyawan untuk mendedahkan penyair muda kepada disiplin menulis yang sebenarnya.

Tambahnya, Ziarah Karyawan mengenepikan protokol. Setiap orang sama ada penulis ternama, hatta sasterawan negara sekalipun, penulis muda yang baru berjinak-jinak dengan sastera dilayan sama rata.

Terbuka terhadap penulis muda

Seperti yang saya katakan tadi, saya mempunyai pendapat sendiri tentang penyair siber atau penyair segera. Apa yang saya yakin, penyair ternama dan penyair baharu saling memerlukan. Yang lama perlu mengajar yang baharu, yang baharu jangan sombong untuk belajar. Lalu saya tanyakan pada Ayah, bagaimana sikap dan pandangan beliau terhadap golongan ini.

Ternyata, Ayah mempunyai sikap yang sangat terbuka dan meraikan golongan penulis atau penyair muda. Baginya, adalah sesuatu yang membahagiakan apabila generasi muda sudah berminat mengenali apa itu penulisan. Siber atau tidak, itu tidak penting katanya.

Perkara yang perlu diberi perhatian apabila generasi muda sudah tertanam minatnya untuk bermesra dengan ruangan sastera, bermesra dengan penggunaan bahasa yang sempurna.

“Ayah bahagia melihat ada orang berminat (dengan sastera) walaupun dia sendiri tulis, dia sendiri terbit tak apa.

Yassin Salleh mempunyai sikap sangat terbuka.“Tetapi melalui Ziarah Karyawan ayah membuka ruang untuk mereka dapat berkenalan dengan sastera sebenar dan penulisan yang seharusnya.

“Ayah punya sikap yang sangat terbuka. Tetapi tak ada tempat untuk orang bermuka-muka dalam sastera dan budaya. Ayah menghormati setiap orang yang mula bermesra dengan bahasa,” ujarnya membuatkan saya tersenyum lega kerana bagi saya, generasi muda perlukan orang seperti Ayah. Menegur obses generasi muda untuk bergelar penulis tanpa memperlekehkan minat mereka, tidak sesekali membuatkan mereka berasa jauh dengan penyair yang sudah mencipta nama.

Sebenarnya terlalu banyak yang boleh ditulis hasil daripada lebih dua jam berbual dengan Ayah. Belum pun saya minta Ayah bercerita tentang dunia filem. Kata Ayah, untuk bercakap soal filem dan drama, perlu satu sesi lain.

Ayah dan politik pula, satu bab lain. Cukuplah kalau saya tuliskan, Ayah pernah aktif dalam Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dan kini menyertai Parti Amanah Negara (Amanah). Daripada bicaranya tentang politik, saya simpulkan, Ayah seorang seniman yang peduli politik, cakna beban yang sedang membelenggu rakyat. Ayah seniman yang tidak hidup dalam dunia sendiri. 

Selain gembira dapat pulang dengan dua buah buku dan sehelai baju T sempena program Ziarah Karyawan Habib Hussein Alattas yang tertera gambar Usman Awang, WS Rendra dan Masuri SN, saya juga gembira apabila Ayah berpesan: anggaplah kita sudah sebagai satu keluarga, jangan serik berkunjung lagi. Ayah memang suka bercerita.