Ali Puteh gagal ketepi saman, kekal diarah bayar RM60,000 kepada balu Abam Bocey

Oleh KIM SYAZIE

Mahkamah Tinggi hari ini menolak rayuan pelawak Ali Puteh untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan beliau membayar RM60,000 kepada kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd Ali kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan, di Instagram dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas menolak rayuan Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 34, untuk mengetepikan saman fitnah itu.

Selain itu, Ahmad Shahrir turut menolak rayuan isteri kepada Allahyarham Abam Bocey untuk menaikkan jumlah ganti rugi RM60,000 yang diiperintahkan oleh Mahkamah Sesyen dengan kos RM5,000.

“Rayuan Syed Ali dan tiga ahli keluarganya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak saman fitnah mereka terhadap usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Siti Nor Hidayah turut ditolak dengan kos sama (RM5,000),” kata peguam Noorazmir Zakaria, yang mewakili Ali Puteh seperti dilapor Astro Awani hari ini.

Dalam prosiding yang dijalankan secara Zoom hari ini, Siti Nor Hidayah diwakili peguam Mohamed Ibrahim Mohamad.