Aliff Syukri menyesal bina rumah besar, perlu tanggung kos selenggara ratusan ribu ringgit

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas meluahkan penyesalannya membina rumah agam besar sebagai tempat berlindung bersama keluarga.

Hal ini berikutan ahli perniagaan terbabit merasa sangat terbeban ekoran perlu memperuntukkan wang berjumlah ratusan ribu ringgit dalam masa setahun sahaja untuk menampung kos penyelenggaraan rumah.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Aliff mengakui kesilapannya kerana tidak berfikir panjang sebelum membina mahligai yang dikatakan berkeluasan sekitar 40,000 kaki persegi itu.

Selepas menduduki banglo tiga tingkat yang diberi nama ‘Palace Aliff Syukri’ itu, barulah ahli perniagaan berkenaan menyedari hakikat sebenar bahawa penjagaan kediaman sebesar sedemikian bukanlah mudah.

“Rasa terbeban sangat apabila ada rumah yang besar ini. Dahulu waktu nak bina rumah ini, fikir seronok sahaja. Tak fikir yang nak jaga kediaman sebesar ini bukanlah mudah. Terutamanya kalau nak buat penyelenggaraan.

“Dalam setahun sahaja, saya perlu memperuntukkan duit ratusan ribu ringgit untuk membaiki kediaman terutama apabila bangunan ini sudah lama kelak. Pening kepada jadinya,” katanya dalam hantaran tersebut.

Usahawan berusia 38 tahun itu turut mengambil peluang untuk memberikan nasihat kepada orang ramai supaya berfikir panjang terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk menduduki kediaman yang besar.

Jelasnya, pemilik kediaman perlu menampung kos yang semakin tinggi seiiring berjalannya waktu sesuai dengan ukuran rumah terutamanya melibatkan kos penjagaan dan penyelenggaraan.

“Kepada anda semua, saya nak berikan nasihat. Sebelum anda ambil keputusan untuk berpindah ke rumah besar, tolonglah bersedia untuk menanggung kos penjagaannya. Semakin besar rumah, semakin tinggi kos.

“Terutamanya apabila rumah itu sudah lama dan banyak kerosaka. Boleh saya tahu tak berapa kos baiki rumah anda dalam masa setahun? Cuba komen di bawah.” Soal Aliff bertanyakan pendapat orang ramai.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna bersetuju bahawa kediaman yang besar boleh membebankan pemilik bukan sahaja dari segi kos malah penjagaan kebersihan rumah jika sudah lanjut usia kelak.

Baca juga: Aktif dalam aktiviti kebajikan sejak remaja, Harissa Adlynn risau digelar riak