Alphard milik Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary tular sekali lagi di media sosial selepas tersebar rakaman video menunjukkan kenderaannya memotong di garisan berkembar baru-baru ini.
Melalui rakaman tersebut kelihatan kereta jenis Toyota Alphard berwarna hitam dengan bernombor pendaftaran P45 memotong kenderaan lain secara berbahaya.
Ia juga memotong di kawasan laluan bergaris kembar, menandakan ia bukan kawasan yang dibenarkan berbuat demikian
Lapor Malaysiakini, kenderaan itu dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga pemandu kepada Ahmad Marzuk.
Ia berdasarkan pemakluman Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Affandi Hussin yang berkata, alasan pemandu tersebut berbuat demikian kerana bimbang daging lembu korban akan rosak.
Affandi berkata, kejadian berlaku pada petang 2 Julai lalu di Kilometer 67, Kampung Pak Kancil, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, Setiu di mana kenderaan itu menuju ke Bangi, Selangor bagi mengagihkan kira-kira 50 kilogram daging korban kepada penduduk.
“Pemandu telah memotong kenderaan lain di kawasan garisan berkembar disebabkan ingin cepat sampai ke destinasi yang dituju bagi mengelakkan daging korban rosak,” ujarnya.
Tambah beliau, pemandu berkenaan telah mengakui kesalahan memandu secara melulu selain akan memberikan keterangan lanjut kepada pihak polis hari ini.
“Polis juga telah mengeluarkan tindakan saman kepada pemandu di bawah kesalahan R12(3)(A) LN167/59 iaitu memotong di garisan berkembar,” jelasnya lagi.
Terdahulu, kenderaan tersebut dipercayai melakukan kesalahan sama dalam kejadian di Jalan Bukit Marak-Binjai, Kota Bharu pada 26 September 2021.
Terdahulu, kenderaan tersebut dipercayai melakukan kesalahan sama dalam kejadian di Jalan Bukit Marak-Binjai, Kota Bharu pada 26 September 2021.
Berdasarkan laporan media, ketika kejadian, pemandu telah memotong kereta di hadapannya sambil menyalakan double signal disebabkan jalan sesak.
Difahamkan, pemandu berkenaan dalam perjalanan ke rumah Ahmad Marzuk di Pengkalan Chepa untuk membawa bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu segera ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.
Baca juga: “Demo nok isley ke KFC?” – Akhirnya KFC di Kelantan ditutup sebab tak ada air?