Isu pembahagian kerusi pilihan raya umum belum dibincangkan oleh Pakatan Harapan dan segala keputusan berhubung pengagihan kerusi akan diputuskan bersama berdasarkan semangat kerjasama, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di Wisma Amanah, Selayang, kelmarin, Mohamad juga menegaskan bahawa urusan pembahagian kerusi pilihan raya akan dibincangkan oleh Amanah peringkat negeri dan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden.
Beliau menjawab soalan pemberita berhubung keengganan DAP, rakan sekutu Amanah dalam Pakatan Harapan untuk menyerahkan sebahagian kerusi yang ditandingi parti itu dalam pilihan raya umum lalu kepada Amanah.
Cadangan agar DAP memberi laluan kepada Amanah bertanding di kerusi yang pernah ditandingi parti itu disuarakan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Chang Lih Kang bertujuan membantu menampilkan imej DAP sebagai parti pelbagai kaum.
Adun Teja itu berkata sebagai pertukaran, DAP boleh bertanding di kerusi yang dijangka diperuntukkan kepada Amanah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Menjawab soalan pemberita sama ada Amanah bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru dalam PRU, Mohamad berkata fokus utama partinya dan Pakatan Harapan adalah menghadapi BN dan ‘parti konco BN’.
Sementara itu, ketika diminta mengulas tindakan PAS Kelantan membuat bantahan rasmi terhadap pemimpin PKR yang menyertai program anjuran Amanah di negeri itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad meminta soalan itu ditujukan kepada PAS.
Sebagai parti gabungan Pakatan Harapan, Amanah ujar Khalid tidak mencampuri urusan PKR yang mahu menjalinkan hubungan dengan PAS atau menyertai program parti tersebut.
“Kami bersikap terbuka dan mahu PAS juga mengamalkan keterbukaan,” katanya.