Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengadakan pertemuan dengan pihak Tabung Haji (TH) hari ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan mengenai kedudukan kewangannya yang berada di paras bahaya.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah bersetuju untuk mengadakan pertemuan itu pada jam 4 petang ini di Ibu Pejabat TH, di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
“Amanah bertanggungjawab untuk memastikan integriti urus tadbir Lembaga Tabung Haji sentiasa di tahap yang meyakinkan bagi menjaga maruah institusi yang mewakili umat Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam surat bertarikh 23 Disember 2015 memberitahu Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Rahim bahawa nilai aset TH hanya mencukupi untuk membayar tidak lebih daripada 98 sen bagi setiap seringgit nilai liabiliti.
Zeti berkata, paras rizab TH adalah negatif dan tidak akan dapat membayar 8.8 juta pencarum sebarang dividen tahun ini jika tidak mengambil tindakan menyelesaikan masalah ini.
Dalam satu surat berasingan kepada Jamil Khir pada tarikh sama, Zeti memberi amaran keadaan kewangan TH boleh memberi kesan kewangan kepada kerajaan.
Menurut Salahuddin juga, Amanah berusaha untuk mendapatkan maklumat daripada pihak-pihak yang berwibawa dan pakar dalam bidang urus tadbir korporat khususnya dalam memahami kemelut yang sedang melanda TH sekarang ini.