AMANAH bimbang anak muda kejar jawatan dalam parti

Oleh ARIF ATAN

Naib Presiden AMANAH Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud khuatir dengan sikap sesetengah anak muda yang begitu aktif terhadap politik sehingga mengejar jawatan dalam parti.

Beliau berkata, ada kalangan mereka terlalu mengharapkan jawatan sebagai tempat mencari pendapatan dan meninggalkan parti apabila tidak mendapat jawatan.

“Saya tidak mahu anak muda obses dengan jawatan. Kalaulah kepimpinan itu disamakan dengan jawatan, maka kita gagal.

“Saya risau anak muda terlibat dalam politik mengharapkan jawatan sebagai tempat mencari pendapatan. Saya bimbang sekiranya mereka berfikir tanpa jawatan, mereka tiada pendapatan.

“Maka ini akan mendorong mereka melakukan apa sahaja demi jawatan. Bila tak jadi calon, gelabah mereka,” katanya dalam ucapan penggulungan Konvensyen AMANAH Nasional hari ini.

Sementara itu, mengulas lanjut tentang persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Mariah menegaskan agar parti menetapkan peruntukan 30 peratus kerusi kepada sayap wanita parti tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang itu berkata, kepimpinan parti perlu lebih adil dan perkara tersebut tidak boleh ditangguhkan lagi.

Pada masa sama, kata Dr Siti Mariah, kepimpinan wanita perlu bersedia sekiranya dijadikan sebagai payung terjun untuk bertanding di mana-mana kawasan sekali pun.

“Peruntukan kerusi sebanyak 30 peratus untuk wanita mesti ditetapkan. Mesti kena siapkan dulu. Apa berlaku kalau tak tetapkan perkara ini? Maka ini tak adil.

“Kita hanya minta 30 peratus. Jangan ada lagi alasan. Kepada calon wanita, jangan harap kita nak tanding tempat kita. Sekarang jangan sebut lagi calon tempatan, anda perlu bersedia untuk bergerak,” tegasnya lagi.