AMANAH dan PH diminta beri tumpuan penambahan pengundi 18

Oleh BORHAN AHMAD

Para pemimpin Pakatan Harapan khasnya AMANAH diminta memberikan tumpuan kepada isu pengundi baru berikutan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang pra pendaftaran pengundi 18 tahun ke atas.

Selangor, negeri yang terletak di bawah Pakatan Harapan antara negeri yang membuat catatan yang besar dalam penambahan bilangan pengundi 18 tahun ini.

Kawasan Parlimen Bangi yang diwakili oleh Ong Kian Ming dari DAP dijangka mendapat pertambahan pengundi paling tinggi khasnya di kalangan pengundi 18 tahun ke atas.

Menurut SPR, 100,630 pengundi pra-pendaftaran direkodkan di Bangi menjadikan jumlah pengundinya sehingga kini (suku kedua 2021) adalah 294,855 pengundi berbanding hanya 178,790 pengundi sahaja pada PRU 2018 lalu.

Damansara yang diwakili oleh Tony Pua dari DAP juga dijangka akan mendaftarkan pengundi baru paling ramai apabila senarai pra pendaftaran dipamirkan oleh SPR.

Berbanding 164,322 pengundi pada PRU 2018, Damansara akan mendapat 237,154 pengundi sehingga suku kedua 2021 sekarang.

Kawasan Parlimen ketiga yang paling ramai pertambahan pengundi adalah Kota Raja yang diwakili oleh Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu.

Kota Raja akan mempunyai pengundi seramai 238,632 berbanding hanya 149,021 pada PRU 18.

Ia adalah pertambahan sebanyak 77,750 pengundi baru yang kebanyakannya adalah pengundi bawah 21 tahun apabila undi 18 dilaksanakan.

Selain itu, turut mendapat penambahan ketara adalah di Shah Alam (Dari 107,316 pada PRU 2018 ke 162,001 pertambahan 47,039),Sepang (104,963 ke 163,020 pertambahan 50,005) dan Hulu Langat (102,363 ke 162, 722 pertambahan 51,421).