AMANAH Kedah menghulurkan tenaga dengan membersihkan rumah yang ditenggelami bah besar di Kampung Seri Tanjung, Dengkil di Selangor.
Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, empat pasukan daripada pihaknya dan ARiF telah melakukan tugas yang mencabar tetapi dimudahkan sedikit kerana telah ada bekalan air paip dan elektrik.
“Dengan tiga buah pam waterjet berkualiti tinggi segala tugasan membersih rumah dan peralatan rumah berjaya diselesaikan sekitar jam 3 petang.
“Sebanyak tujuh rumah berjaya dibersihkan. Namun, kami tidak bersendirian, banyak lagi NGO lain yang turut sama membantu,” katanya hari ini.
Menceritakan situasi bencana bah besar di Kampung Seri Tanjung hasil perkongsian daripada pengalaman mangsa, Dr Ismail berkata, kampung itu telah dilanda banjir sebanyak empat kali untuk tahun ini sahaja.
“Namun, banjir kali kelima yang bermula pada hari Sabtu lalu (18 Disember) amat luar biasa.
“Paras air mencecah bumbung dan telah merosakkan sebahagian besar perabot dan perkakas rumah. Ada perabot yang dibawa air beberapa kilometer jauhnya.
“Walaupun sebahagian besar penduduk berpindah, namun bantuan untuk berpindah dari pihak berkuasa sangat lemah dan lambat. Majoriti daripada mereka berpindah sendiri tanpa dibantu,” katanya lagi.
