AMANAH mahu politik seperti Rasulullah bukan isi poket untuk kaya-raya

Oleh NASUHA RAHMAN

Matlamat Parti Amanah Negara (AMANAH) adalah mahu politik seperti dibawa Rasulullah SAW bukannya menjadi parti atau pimpinan yang tamak jawatan, jaga kepentingan diri mengisi poket untuk jadi kaya-raya, demikian menurut Pengarah Komuniasi AMANAH Nasional Khalid Samad.

Berucap ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Cawangan-Cawangan AMANAH Gua Musang Khalid berkata, hari ini negara sudah menyaksikan pemimpin kononya pejuang Melayu Islam tetapi malangnya keadaan orang melayu Islam sama seperti dulu hanya pemimpin sahaja yang kaya raya.

“Kata pejuang Melayu Islam tetapi bagi rakyat tidak ada benda bertambah yang kaya adalah pemimpin-pemimpin ini, kita tak nak politik sebegitu, nak politik seperti Rasulullah.

Khalid Samad terima borang keahlian cawangan AMANAH ke-12 di Kawasan Gua Musang

“Almarhum Tok Guru Nik Aziz, semangat yang dibawa Almarhum contoh yang baik bila meninggal tidak menjadi sebagai jutawan walaupun bertahun-tahun menjadi Menteri Besar Kelantan.

“Kerana Almarhum bukan untuk kayakan diri tetapi untuk agihkan mnafaat dan khidmat kepada rakyat.

“Semangat ini dalam mesej Rahmatan Lil Alamin bawa kebaikan kasih sayang kepedulian kepada rakyat jelat
bukan untuk jawatan kemudian seronok dengn jawatan itu,” katanya.

Malangnya hari ini kata beliau, pemimpin kerajaan Pas Kelantan seperti tidak menghiraukan nasib rakyatnya apabila Pakatan Harapan yang mulakan memberi wang RM400 juta setahun digunakan untuk membeli kereta mercedes dan menaikkan eluan ADUN.

“Dahulu kata Kerajaan Kelantan dianaktirikan, hasil negeri pula tak seberapa.

“Bila PH memerintah 22 bulan kitalah yang mulakan beri setiap tahun RM400 juta kepada kerajaan Kelantan, kita juga berikan RM1 bilion kepada kerajaan Terengganu mengakui itu royalti bukan ihsan ini hak mereka.

“Malangnya kerajaan Pas Kelantan guna RM400 juta beli kereta mercedes dan naikkan elaun ADUN. Kita tengok ADUN Pas mewahnya kerana mereka tidak memahami dan tidak menjiwai Almarhum Tok Guru Nik Aziz,” katanya lagi.

Turut bersama dalam majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Tahunan Cawangan-Cawangan AMANAH Gua Musang serta Penajaan AMANAH Cawangan Kg. Pasir Tumboh, Gua Musang ADUN Ketari, Young Syefura Othman yang juga merupakan Timbalan Ketua DAPSY Kebangsaan.

Khalid turut menerima borang keahlian cawangan AMANAH ke-12 di Kawasan Gua Musang daripada Ketua Cawangan, Abd Aziz Ismail.

Antara yang hadir adalah JK Pimpinan AMANAH Nasional, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah, Pengerusi AMANAH Negeri Kelantan, Ustaz Muhammad Husain, Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kelantan, Hazmi Hassan, Ketua AMANAH Kawasan Gua Musang, Haji Fauzi Abdullah.

Baca juga: Kegilaan teroka hutan simpan untuk Ladang Hutan sudah jadi ketagih, dakwa Husam Musa