Amanah Melaka tubuh jawatankuasa bencana banjir

Oleh BORHAN AHMAD

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Melaka menubuhkan jawatankuasa bencana banjir bagi menangani mangsa banjir di Daerah Alor Gajah.

Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari berkata pihaknya telah mengarahkan pasukan ARIF iaitu badan amal di bawah seliaan Amanah bagi membantu kerja menyelamat.

Anggota ARIF Melaka meredah banjir untuk membantu mangsa banjir. Amanah Melaka juga melantik Zairi Suboh sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana bagi menguruskan kerja berkaitan bencana dan kebajikan.

“Amanah Melaka telah menggerakkan ARIF untuk turun padang membantu mangsa banjir di sekitar kawasan yang dilanda banjir iaitu Gadek, Pengkalan, Panchor, Beringin, Belimbing Dalam, Batu Balai dan lain-lain”.

“Kami juga akan membuka bilik gerakan banjir di sekitar kawasan tersebut bagi memudahkan  melaksanakan kerja yang berkaitan,” tambah Adly

Menurutnya banjir ini berlaku akibat hujan lebat yang melanda Melaka petang semalam. Hujan lebat yang mencurah-curah hingga ke malam menyebabkan air sungai di kawasan tersebut naik dan melimpahi tebing.

Adly dan pimpinan Amanah Parlimen Alor Gajah telah menziarahi mangsa banjir di Kampung Beringin Durian Tunggal pagi ini. Ramai di antara mereka yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir di Balai Raya kampung tersebut.

Pihak Amanah Melaka juga telah melancarkan kempen mengumpul petugas untuk bantuan menyelamat ini. Sebarang pertanyaan boleh diajukan di talian nombor 016-9811315 atau 014-230 5654

Sehingga tengahari semalam terdapat 25 keluarga terdiri dari 83 orang masih ditempatkan di Balai Raya Kg. Gadek;  SMK Pengkalan, 41 Keluarga (155 orang; Dewan Masjid Ar Rasidin, Alor Gajah, 22 Keluarga (107 Orang); Balai Raya Kg. Panchor, 3 Keluarga (10 Orang); Balai Raya Kg. Beringin, 7 Keluarga (30 mangsa); SK. Belimbing Dalam, 17 Keluarga (83 mangsa) dan di Balai Raya Kg. Bukit Balai, 2 Keluarga (8 mangsa).