AMANAH Melaka telah memuktamadkan sembilan calon mereka yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan datang ini.
Menurut sumber AMANAH Melaka, mereka membariskan calon dari pelbagai kategori kehidupan dari orang muda, wanita, calon lama, calon baharu serta para profesional dan golongan agama.
Mereka diketuai oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahary yang telah memberikan khidmat terbaik ketika Pakatan Harapan memerintah Melaka sebelum ini.
Sementara itu, Malaysia Dateline dimaklumkan, calon AMANAH paling muda adalah Ketua Pemuda AMANAH Melaka, Ustaz Mohamad Khomeini bin Kamal, 32 tahun.
Calon wanita AMANAH pula adalah Ketua Awan Masjid Tanah, Puan Maznah Baharudin, 59 tahun.
Pengarah Komunikasi AMANAH Melaka, Zairi Suboh yang berumur 41 tahun juga dikatakan akan turut bertanding dalam pilihan raya ini.
Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, PKR akan bertanding 11 kerusi dalam PRN ini, AMANAH (9) manakala DAP (8).
DAP akan mengumumkan kesemua calonnya untuk PRN ini jam 3 petang ini di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.
PH pula secara rasminya akan memperkenalkan semua calon-calonnya jam 8.30 malam 7 November ini iaitu sehari sebelum hari penamaan calon pada 8 November.