Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menyeru supaya rakyat berganding bahu berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan bagi menghadapi pilihanraya umum ke-14 akan datang.
Pengarah Komunikasinya, Abdul Rahim Mohd Noordin berkata, pelbagai isu telah melanda negara sepanjang tahun 2015 lalu dengan rakyat menjadi mangsa seperti pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), rasuah, jenayah, ‘derma’ RM2.6 bilion dan kontroversi 1MDB.
“Negara yang disayangi ini terus dilanda pelbagai isu salah tadbir urus negara menyebabkan imej Malaysia di mata dunia terus tercalar.
“Di tengah suasana negara yang terus dihantui dengan berbagai isu yang membelenggu rakyat, Amanah muncul dengan visi dan misi untuk mewujudkan sebuah negara yang adil, Rahmah Untuk Semua serta Mensejahtera dan Memakmurkan negara dari semua sudut kehidupan pendidikan, ekonomi dan taraf hidup,” ujarnya.
Menurut Rahim dalam perutusan sempena tahun baharu 2016 itu, hal berkaitan akhlak, kekeluargaan, kemasyarakatan, perpaduan semua kaum perlu diharmonikan bersama.
“Perjuangan untuk menbela rakyat perlu diteruskan kerana Tuhan tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang mengubahnya. Semoga usaha yang di lakukan ini mendapat keberkatan dari Allah dan dimurahkan rezeki kita pada tahun 2016,” ujarnya lagi.