AMANAH Sarawak terus mempergiat kempen menjelang tiga hari lagi sebelum pembuangan undi Sabtu ini, 18 Disember.
Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan bandar yang ditandingi calon-calon AMANAH iaitu di Demak Laut dan Samariang, kempen dilaksanakan tanpa sesi ceramah dan bersemuka dengan pengundi atau bergerak dari rumah ke rumah.
Menurut Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili, dengan Standard Operasi Prosedur (SOP) pilihan raya yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 kali ini yang ketat akibat Covid-19, ia sedikit sebanyak menyukarkan calon-calon bertanding mendekati para pengundi.

Beliau yang merupakan calon AMANAH di kerusi DUN Samariang memberitahu, pendekatan berkempen hanya dijalankan menerusi platform media sosial selain menggunakan kenderaan bergerak yang menggunakan pembesar suara bagi menyampaikan mesej kepada pengundi di dalam kawasan.
“inilah cabaran yang dihadapi oleh calon-calon yang bertanding pada kali ini kerana hanya menggunakan media sosial sebagai saluran untuk meraih undi.
“Bagaimanapun, saya berharap mesej yang disampaikan kepada seluruh pengundi akan sampai walaupun hakikatnya tidak seperti jika kita bersemuka atau berjumpa dengan mereka,” tegas beliau.
Untuk di kerusi DUN lain, jelas Abang Halil seperti Muara Tuang, Gedong dan Sebuyau turut menggunakan kaedah kempen yang sama walaupun capaian internet agak terbatas.
Tambahnya, dengan berbaki tiga hari termasuk hari ini untuk berkempen, beliau telah mengarahkan semua jentera di kawasan bagi memanfaatkan peluang turun ke lapangan memperkenalkan calon masing-masing.
“Ini sahaja saluran yang kita gunakan kerana calon tidak dibenarkan memberi ceramah kecuali di beberapa kawasan kerusi DUN lain di luar bandar.
“Bagaimanapun calon kita di Kabong, Semop dan Jemoreng diberitakan boleh turun bersemuka dengan para pengundi di sana kerana tiada capaian internet.
“Apa pun, saya berharap agar semua calon AMANAH pada PRN12 kali ini mampu mencatat sejarah meraih kemenangan pada Sabtu ini,” ujar Abang Abdul Halil.