Amanah serah permohonan permit akhbar rasmi parti

Oleh BORHAN AHMAD

Parti Amanan Negara (Amanah) hari ini menyerahkan permohonan mendapatkan permit akhbar rasmi parti kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya.

Permohonan diserahkan sendiri Timbalan Setiausaha Agung Amanah, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus di pejabat Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN tengahari tadi.

Borang permohonan bagi mendapatkan permit akhbar rasmi Amanah itu diterima Penolong Pegawai Tadbir, Unit Permit dan Lesen, Mohd Faisal Shamsuddin.

Ahmad Kerdee ketika ditemui Malaysia Dateline berharap pihak KDN dapat memproses permohonan permit akhbar rasmi Amanah itu dengan segera berdasarkan kerjasama baik yang diberikan.

“Kita juga akan berikan kerjasama jika pihak KDN memerlukan maklum balas atau sebarang keperluan (bagi urusan pemprosesan permit penerbitan itu),” ujarnya.

Beliau juga mengharapkan ahli Amanah bersabar menunggu akhbar rasmi parti itu diterbitkan.

“Selepas mendapat permit, kita akan menyegerakan penerbitan dan penyebaran akhbar rasmi parti,” katanya.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir mengumumkan usaha parti gabungan Pakatan Harapan itu bagi menerbitkan akhbar sendiri dan berada di fasa akhir menyiapkan segala dokumen diperlukan untuk dihantar kepada KDN bagi memohon permit penerbitan.