Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu mengingatkan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) agar mengambil iktibar daripada tragedi banjir besar yang melanda Selangor minggu lalu.
Presiden AMANAH itu berkata, koordinasi penyelamatan mangsa banjir yang lebih cepat perlu bagi meminimumkan kerugian dialami mangsa banjir.
“Musibah yang datang kali ini begitu berat. Saya mengharapkan dengan kejadian banjir yang begitu dahsyat tahun ini menjadi pengajaran supaya pada masa akan datang persediaan awal dapat dilakukan.
“Tindakan perlu lebih cepat. Peralatan secukupnya mesti ada terutama di pihak NADMA untuk bertindak cepat menyelamatkan mangsa-mangsa banjir dan harta benda mereka.
“(Bencana banjir) kali ini agak perlahan tindakan di semua pihak khasnya di pihak kerajaan Persekutuan,” katanya dalam rakaman video berdurasi empat minit yang dimuatnaik di Facebook rasmi Parti AMANAH Negara hari ini.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dilapor berkata, dijangkakan sebanyak 15,000 ke 20,000 keluarga terkesan dengan banjir besar di negeri tersebut.
Antara kawasan paling teruk terjejas di Selangor ialah Taman Sri Muda di Shah Alam yang terletak di kawasan dataran banjir serta pertembungan antara aliran Sungai Klang dan Sungai Damansara.
Turut ditenggelami air kawasan berdekatan Sungai Langat seperti di Hulu Langat. Malah, banyak rumah mangsa banjir musnah dihanyutkan arus deras selepas hujan lebat berterusan sejak 17 Disember hingga awal pagi 19 Disember lalu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim, dilapor berkata, pihaknya tidak menjangka banjir akan berlaku di tempat lain memandangkan tumpuan persediaan bencana banjir semasa mesyuarat adalah di negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.
“… apabila ia berlaku di negeri Selangor yang mana mengikut data yang dibekalkan MET Malaysia, kadar hujan untuk satu bulan turun dalam satu hari, ia amat mengejutkan.
“Bagaimana mantap pun persediaan yang dibuat tetapi ramalan hujan itu tidak dapat kita anggarkan pada masa tersebut, air naik dengan cepat dan pada mula masing-masing menjangka ia hanya banjir kilat tetapi sebaliknya berlaku dan banjir berlaku secara serentak,” dipetik BH hari ini.