Ambil pengajaran daripada Donald Trump dan kuncu-kuncunya

Oleh MALAYSIADATELINE

Dalam minggu ini, Donald Trump, seorang billionaire di Amerika Syarikat yang terkenal melalui rancangan The Apprentice, menjadi sebut-sebutan di seluruh dunia. Trump merupakan salah seorang calon parti Republikan yang berhajat untuk bertanding sebagai Presiden Amerika Syarikat menggantikan Obama.

Namun begitu, telah jelas beliau telah ditolak mentah-mentah bukan sahaja oleh masyarakat di Amerika Syarikat, malahan di seluruh dunia. Ijazah kehormat yang diterimanya dari sebuah universiti di Scotland telah ditarik semula.

Malahan sebuah laman sesawang tidak berfungsi (crash) kerana lebih separuh juta masyarakat di United Kingdom menandatangani petisyen untuk menghalang beliau memasuki negara itu.

Apakah kenyataan beliau?

Beliau berjanji sekiranya beliau menjadi presiden, beliau akan menghalang orang Islam daripada memasuki negara Amerika Syarikat!

Ini bukanlah kali pertama beliau melakukan kenyataan-kenyataan yang sebegini. Kenyataan-kenyataan berunsurkan perkauman, ketuanan bangsa dan islamofobia ini dipertahankan Trump dengan pelbagai hujah dan alasan yang terlalu sempit.

Kenyataan ini bukan sahaja menimbulkan kemarahan dan ketakutan di kalangan masyarakat Muslim yang hidup di dalam tekanan Islamofobia,bahkan masyarakat sivil di seluruh dunia seperti di United Kingdom dan Amerika Syarikat misalnya.

Tanpa mengira warna kulit dan agama, mereka mengherdik tindakan Trump sebagai satu tindakan berbau hasutan etnik dan perkauman. Beberapa orang pemimpin partinya sendiri, Republikan dan wakil dari ‘White House’ menyifatkan kenyataan itu sebagai menyalahi perlembagaan Amerika Syarikat.

Masyarakat yang bertamadun (civil society) di seluruh dunia sudah muak dengan permainan pemimpin-pemimpin politik yang berkepentingan dan menggunakan politik ketakutan untuk mendapatkan kekuasaan.

Meskipun masih ada daripada kalangan mereka yang masih mengamalkan ketuanan bangsa (racial supremacy), namun masyarakat sivil tidak semudah itu menerima permainan para politikus ini.

Masyarakat sivil sudah mampu berfikir dan menyelidik untuk mencari kebenaran. Masyarakat sivil menyifatkan apa yang berlaku di Syria, dan Afghanistan misalnya tidak disandarkan kepada agama, tetapi merupakan tindakan golongan yang ekstrem dalam agama.

Di samping itu, masyarakat sivil yang terbangun di negara-negara maju, majoritinya menolak politik yang berasaskan ketakutan. Ketakutan kepada hilangnya sesebuah kuasa pada bangsa atau agama. Masyarakat sivil menilai sesebuah kerajaan pada kerja yang mereka lakukan untuk rakyat, bukannya melalui slogan dan retorik semata-mata.

Islam yang diutuskan melalui Rasulullah s.a.w merupakan satu rahmat untuk seluruh alam (rahmatan lil ‘alamin). Dalam surah al-Hujuraat ayat 13 jelas menyatakan bahawa Allah s.w.t menciptakan berbilang-bilang kaum dan warna kulit adalah untuk saling kenal-mengenali antara satu sama lain.

Islam menghapuskan perhambaan, Islam menghapuskan perkauman. Islam mengangkat wanita ke peringkat yang tinggi. Inilah yang berlaku dalam masyarakat sivil.

Rata-rata masyarakat Islam minoriti contohnya seperti di United Kingdom, di negara-negara Eropah Barat, Amerika Syarikat dan Kanada misalnya, menikmati peluang ini. Sekiranya pun ada provokasi-provokasi yang mengaitkan masyarakat Muslim di sana dengan kumpulan seperti ISIS, Al-Qaeda dan pelbagai lagi tuduhan liar, rata-rata masyarakat sivil mengetahui, ini adalah tindakan terdesak pihak-pihak tertentu yang mahu memburuk-burukkan Islam.

Tidak dinafikan masih banyak ruang yang boleh diperbaiki. Masih ada di dalam masyarakat sivil yang berfikiran konservatif, tambahan pula kehidupan tidak beragama juga mengakibatkan mereka terlebih bebas sehingga mengiktiraf juga golongan LGBT dalam masyarakat. Namun malulah kita, mereka masih belum menjadi Muslim, dan pemikiran mereka lebih Muslim daripada kita!

Persoalan yang ingin dilontarkan di sini ialah, kenapa masyarakat bukan Islam di sana dapat berfikir dengan matang dan membuka ruang selayaknya untuk sesiapa sahaja (hatta kepada Muslim minoriti) menerima kehidupan yang sama rata dan berpolitik secara berhujah (sehinggakan mereka dapat menolak orang yang berpengaruh dan billionaire seperti Trump)?
Mengapa ia tidak berlaku di negara yang mempunyai populasi masyarakat Muslim yang tinggi seperti di negara-negara Timur Tengah dan di negara kita? Mengapakah kita masih mengamalkan politik yang berunsurkan ketakutan untuk mendapatkan kuasa, sedangkan Islam itu sendiri tertegak dengan hujah?

Adakah masih relevan kita menakut-nakutkan bangsa Melayu dan orang Islam di negara ini seperti mana yang dilakukan oleh UMNO sejak sekian lama untuk kekal berkuasa? Adakah Islam sebegitu lemah dan perlunya kita pertahankan dengan slogan-slogan, ataupun kita sebagai Muslim yang lemah dan tidak berani berhadapan dengan globalisasi masyarakat sekarang?

Sekiranya kita merupakan masyarakat Islam yang minoriti seperti di negara Barat, adakah kita akan bertindak sebegini rupa, mengugut mereka yang menolak Islam dan Melayu?
Tidakkah sepatutnya kita berterima kasih kepada masyarakat sivil di luar sana, yang bukan sahaja memberikan kita peluang untuk menyampaikan dakwah dan menyebarkan Islam, bahkan mereka juga membuka ruang dan perlindungan politik kepada sahabat-sahabat Muslim kita yang ditindas seperti di Syria?

Renungkan semula kita di tanah air ini. Berapa ramaikah di antara kita yang masih bersikap seperti Donald Trump?

Menggunakan ketuanan Melayu dan ketuanan Islam untuk menindas orang lain. Memperjuangkan bangsa Melayu dan Islam sehingga menyebabkan masyarakat bukan Islam dinafikan hak-hak mereka.

Tiada nilai empati kepada masyarakat minoriti dan bukan Islam, malahan dilihat sebagai musuh yang mahu menghancurkan Islam. Akhirnya, kita masih kekal memilih kerajaan yang mengaut harta dan kekayaan negara dan dalam pada masa yang sama sering melaung-laungkan hidup Melayu dan Islam supaya kekal berkuasa.

Di dalam negara yang mengamalkan demokrasi,laungan-laungan sebegini tidak lagi relevan. Kita berada di medan demokrasi di mana ruang dakwah terbuka luas, bukannya di medan perang sehingga semboyan-semboyan perang yang

Buktikanlah kita lebih baik, berasaskan hujjah dan kerja kita sendiri. Buktikan Islam sebagai agama yang terbaik, bukannya daripada slogan-slogan kita, tetapi melalui akhlak dan cara tadbir kita.

Melalui cara kita menguruskan pentadbiran negeri dan negara, sehinggalah kepada cara kita memberikan respon kepada persoalan-persoalan dan hujah yang dilontarkan kepada kita, kerana dengan cara itulah kita memperkuatkan Islam itu sendiri.

Kita sebagai umat Islam, seharusnya lebih berjiwa besar. Kita boleh lakukan yang lebih baik daripada apa yang kita lakukan sekarang. Campakkanlah jauh-jauh ketakutan atas bangsa dan agama, dan bersiap siaga untuk bekerja dengan lebih profesional dan matang, dalam memenangi hati rakyat.

Layanilah bangsa minoriti dengan baik kerana itu adalah dakwah. Letakkan diri kita seperti mana mereka, dan cuba selami apakah penindasan dan ketidakadilan yang kerajaan BN dan UMNO telah lakukan kepada mereka sejak berdekad lalu.

Kepada ahli AMANAH khususnya, dan masyarakat melayu dan Islam di negara ini amnya, marilah bangkit dan mara ke hadapan untuk membentuk masyarakat ini menjadi masyarakat sivil yang dipandu dengan Islam, berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

Masyarakat yang adil dan saksama kepada setiap makhluk ciptaan Allah s.w.t sentiasa menyayangi alam sekitar. Masyarakat yang sentiasa cakna dengan orang lain tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama.

Masyarakat yang sentiasa berkasih sayang antara satu sama lain dan menolak amalan perkauman dan ekstrem dalam agama. Sebagai umat Islam, kitalah yang perlu terkehadapan untuk mengenengahkan perjuangan membentuk masyarakat sivil ini kerana kita seharusnya yakin, acuan masyarakat sivil berpaksikan Islam adalah acuan yang terbaik, untuk segenap masyarakat.

Tegakkanlah acuan ini dengan hujjah dan kerja-kerja yang berterusan dan profesional, bukannya dengan ketakutan. Kerana kita sebagai umat Islam, adalah lebih baik daripada apa yang kita tonjolkan pada hari ini.

*Penulis  adalah Pengarah  Hubungan Antarabangsa Pemuda AMANAH Nasional  merangkap Naib Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perak.