Ameera Khan sudah lama nak tinggalkan Malaysia, cari tempat boleh jadi diri sendiri

Oleh WAN SITI AMINAH

Pempengaruh media sosial, Ameera Khan mengakui sudah lama terfikir untuk berhijrah keluar meninggalkan Malaysia dan menetap di negara yang membolehkannya menjadi diri sendiri.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Ameera Abdul Halim Khan itu, pemikiran sedemikian dipercayai timbul selepas merasakan dirinya dikelilingi dengan orang yang bersikap toksik di negara ini.

Gadis yang berusia 25 tahun itu juga menegaskan bahawa dirinya masih menyayangi Malaysia namun keputusan seperti itu perlu diambil demi menjamin ketenangan dan kesejahteraan mentalnya.

Perkara tersebut dikongsikan oleh pempengaruh yang juga dikenali sebagai ‘Little Miss Khan’ itu menerusi satu hantaran di Instagram Story untuk menjawab soalan dari peminat tentang keinginan menetap di luar negara.

“Saya sudah lama memiliki keinginan untuk tinggalkan Malaysia. Jangan salah anggap, saya masih sayangkan negara saya. Tetapi pada pendapat saya, lebih baik keluar daripada terus tinggal di sini.

“Berbanding tinggal bersama orang yang mempunyai pemikiran toksik,” kata pempengaruh terbabit dalam satu sesi soal jawab bersama pengikutnya di akaun Instagram miliknya baru-baru ini.

Dalam perkongsian yang sama, adik kepada usahawan selebriti iaitu Noor Neelofa itu juga yakin bahawa dirinya akan berhijrah dan menetap di negara lain suatu hari nanti apabila menemukan lokasi sesuai.

Ameera tidak menamakan mana-mana negara secara terperinci dalam hantaran itu namun akan memilih lokasi yang membolehkannya menjadi diri sendiri dan tentunya bukan Malaysia.

“Pastinya satu hari nanti apabila sudah bersedia, saya akan ke tempat yang membolehkan saya menjadi diri sendiri. Saya akan ke tempat di mana diri ini akan diterima dan tentunya bukan di sini.” Jelasnya.

Terdahulu, Ameera dibanjiri dengan kritikan dan kecaman daripada pengguna media sosial tempatan yang kurang senang dengan pemakaiannya ekoran agak terbuka selain hubungan bersama pelakon Indonesia iaitu Jefri Nichol.

Baca juga: Lelaki beri ‘review’ jujur selepas dua tahun pandu Tesla