Ameera Khan tak bosan telefon 24 jam dengan Jefri Nichol, mengaku sama-sama ‘clingy’

Oleh WAN SITI AMINAH

Pempengaruh, Ameera Khan yang kini dikatakan sedang hangat bercinta dengan pelakon sensasi Indonesia iaitu Jefri Nichol mengakui sama-sama memiliki sikap ‘clingy’ atau suka berkepit dengan pasangan.

Sikap itu membuatkan pasangan berbeza negara terbabit langsung tidak merasa bosan untuk berhubung di antara satu sama lain menerusi panggilan telefon hampir sepanjang masa malah lebih daripada tempoh 24 jam.

Perkara tersebut didedahkan oleh pemilik nama sebenar Nur Ameera Abdul Halim Khan itu ketika disoal pengikut media sosial miliknya menerusi satu sesi siaran langsung di akaun TikTok miliknya.

Dalam siaran langsung itu, pengikut berkenaan bertanya sama ada Ameera pernah merasa terganggu kerana perlu berhubung hampir sepanjang masa menerusi panggilan telefon dengan pasangannya.

“Tak rasa serabut ke telefon 24 jam, Meera?,” tulis salah seorang penonton yang meninggalkan komen dengan bertanyakan soalan ketika Ameera mengadakan siaran langsung berkenaan.

Adik kepada usahawan selebriti iaitu Noor Neelofa itu lalu menjawab bahawa mereka berdua tidak terganggu untuk terus berada dalam talian telefon walaupun sedang sibuk melakukan urusan peribadi masing-masing.

Sebaliknya pempengaruh berusia 25 tahun itu mengakui bahawa panggilan telefon sedemikian telah membuatkan mereka merasa lebih tenang dan tentunya disayangi di dalam sesuatu perhubungan.

“Tak, sebaliknya kalau tak telefon yang rasa serabut sedikit sebab saya clingy. Jefri juga clingy. Jadi kalau dia ada hal sendiri, saya akan tanya, ‘nak telefon saya balik tak?’. Lalu dia cakap, ‘tak, teruskan berada dalam talian dengan saya’.

“Kalau saya keluar pula dia akan cakap, ‘sayang, awak akan telefon semula kalau sudah selesai?’. Kemudian saya akan cakap, ‘tidak, teruskan berada dalam talian dengan saya’, Telefon 24 jam itu tak mengganggu kami pun,” katanya dalam siaran langsung itu.

Terdahulu, Jefri mendedahkan bahawa di antara perkara yang paling romantis pernah dilakukannya ketika bercinta adalah melakukan panggilan telefon selama 48 jam tanpa henti bersama Ameera.

Perkara itu didedahkan oleh pelakon berusia 26 tahun itu ketika menjadi tetamu jemputan di dalam program audio siar atau ‘podcast’ yang dikendalikan oleh pengacara dan personaliti popular Indonesia, Denny Sumargo.

Baca juga: Wanita terkilan setiap kali balik rumah mentua mesti diperli ipar, bila masak pula tak ada siapa jamah