Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak Malaysia memainkan peranan segera melalui Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) atau badan antarabangsa yang lain agar isu Syria diselesaikan melalui meja rundingan.
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, perkembangan terbaru persepakatan Arab Saudi, Amerika dan rakan sekutunya yang lain untuk masuk ke Syria, memungkinkan pertempuran hebat akan berlaku dan bakal memangsakan rakyat awam terbanyak.
“Arab Saudi, Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah membuat keputusan untuk bersama Amerika Syarikat dan 36 negara yang dipimpinnya untuk masuk ke Syria dengan alasan kononnya untuk melawan ISIS.
“Pada masa ini, keadaan di Syria sudah cukup sengsara. Kemusnahan yang berlaku di negara Timur Tengah ini adalah berpunca daripada sikap adu domba, dominasi hemegoni politik Amerika bersama sekutunya Israel dan beberapa negara Arab yang lain, sekaligus membawa negara-negara Arab dan umatnya berada dalam kehancuran,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Mohamad berharap kerajaan Malaysia tidak menyertai atau menyokong mana-mana kumpulan untuk masuk ke Syria bersama Amerika Syarikat.
Malaysia ujarnya, perlu merintis jalan damai dalam usaha penyelesaian krisis lebih lima tahun ini dengan mendesak semua pihak supaya hadir ke meja rundingan.
“Dominasi Amerika di Timur Tengah tidak lain hanya bagi menjaga kepentingan mereka terutama sekali menjaga keselamatan Israel.
“Sebarang tindakan oleh Amerika dan rakan sekutunya untuk masuk ke Syria secara terus tanpa melalui meja rundingan hendaklah dikutuk sekeras-kerasnya,” tegas Mohamad.