Amerika Syarikat (AS) mahu mengambil alih Semenanjung Gaza selepas memindahkan rakyat Palestin ke negara lain secara ‘kekal’ dalam perancangan untuk membangunkan semula kawasan itu sebagai ‘Riviera’ Asia Barat.
Rancangan yang begitu mengejutkan itu didedahkan oleh Presiden AS, Donald Trump tanpa menjelaskan butiran terperinci menerusi satu sesi sidang media di Washington bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Pengumuman itu dibuat Trump susulan turut memberi cadangan menggemparkan sebelum ini iaitu memindahkan rakyat Palestin keluar ke negara-negara jiran lain secara kekal sambil menyifatkan Gaza sebagai ‘tapak perobohan’, lapor Berita Harian.
Jelasnya, AS akan menangani bom yang belum meletup, ‘meratakan tapak’ dan mengalihkan bangunan musnah untuk mewujudkan pembangunan ekonomi yang bakal menyediakan penempatan serta pekerjaan tanpa batas kepada penduduk di kawasan itu.
“AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza dan kami juga akan melakukan sesuatu dengannya. Kami akan memilikinya,” kata Trump dalam sesi sidang media tergempar itu memetik laporan Berita Harian.
Trump bagaimanapun tidak memberikan jawapan secara langsung terhadap soalan berhubung bagaimana dan di bawah kuasa apa yang membolehkan AS mengambil alih Gaza serta mendudukinya dalam jangka panjang tanpa melanggar undang-undang.
Presiden AS itu juga mendakwa telah menyuarakan cadangannya kepada pemimpin serantau dan mereka menyokong idea berkenaan selain memaklumkan bakal melawat Gaza tanpa mendedahkan tarikh sebenar perjalanan tersebut.
“Saya melihat kedudukan pemilikan jangka panjang dan nampak ia akan membawa kestabilan besar di bahagian Asia Barat itu. Saya telah mengkaji perkara ini dengan teliti selama berbulan-bulan,” ujar pemimpin berkenaan.
Ketika ditanya mengenai penghuni yang bakal menetap di Gaza selepas pembangunan tersebut dilakukan, Trump memaklumkan ia akan menjadi tempat tinggal kepada ‘penduduk dunia’ dan meramalkan kawasan itu menjadi ‘Riviera’ Asia Barat.
Jawapan daripada Trump itu seakan-akan memberikan bayangan bahawa bukanlah rakyat Palestin yang akan kembali ke tanah air mereka untuk menduduki kawasan tersebut selepas pembangunan dijalankan.
“Ia harus tidak melalui proses pembinaan semula dan pendudukan oleh orang sama yang telah betul-betul berada di situ serta berjuang untuknya, tinggal dan mati di sana, serta hidup dalam kewujudan yang sengsara di situ,” jelasnya.
Menurut Trump lagi, kira-kira dua juta penduduk Gaza selaku penghuni tetap di kawasan tersebut sebelum ini seharusnya ‘pergi (menduduki) ke negara lain yang lebih mempunyai jiwa kemanusiaan.’
Trump juga akan menyokong penempatan semula rakyat Palestin ‘secara kekal’ di negara Asia Barat seperti Mesir dan Jordan walaupun rakyat Palestin sendiri serta kedua-dua negara itu telah menolak mentah-mentah gesaan berkenaan.
Dalam pada itu, Netanyahu pula tampil memuji Trump sebagai ‘sahabat terhebat yang pernah Israel miliki’ dan mendakwa perancangan Presiden AS terhadap Gaza itu berupaya ‘mengubah sejarah’ dan ‘wajar untuk diberikan perhatian’.
Baca juga: IShowSpeed serik nak masuk WWE lepas kena campak dari pentas