Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Amira Aisya Abd Aziz, 27, telah diumumkan sebagai calon Muda bagi DUN Putri Wangsa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac nanti.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman percaya Amira adalah cerminan sebenar Muda yang mahu negara ini dipimpin dengan baik sekaligus mengangkat politik khidmat dan dasar.
Menurut Syed beliau amat kenal dengan Amira sejak belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan menjadi rakan debatnya sewaktu beliau menjadi aktivis politik.
“Waktu saya bersama dalam Deklarasi Rakyat, Amira ada bersama saya.
“Waktu saya menolak tawaran ke Oxford untuk bawa suara rakyat dalam PRU14, Amira ada bersama saya.
“Selepas Amira habiskan Chambering di Johor, Amira berkhidmat di Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) sebuah ‘think tank’ di bawah Kementerian Pendidikan, Amira jadi penganalisis yang bertanggungjawab merangka dasar dan polisi pendidikan negara. Isu pendidikan daif luar bandar, bagaimana silibus dan sesi pembelajaran dalam kelas patut dibuat, ini semua bawah tanggungjawab Amira,” kata Syed Saddiq.
Syed sangat hormat dengan keputusan Amira apabila menolak pelawaannya menyertai Bersatu kerana tidak mempunyai ramai pemimpin wanita ketika itu.
“Amira adalah aset yang perlu saya angkat. Tapi Amira cakap ‘NO’ kepada saya.
“Amira rasa Bersatu bukan tempat yang kena dengan jiwa Amira. Dia pun mahu fokus bantu rangka polisi pendidikan di dalam Kementerian Pendidikan.
“Beberapa tahun lepas tu, Langkah Sheraton jadi, saya pun dah tak jadi Menteri. Kena buang pula dari Bersatu.
“Waktu itu, Amira DM saya di Instagram, kalau saya tubuhkan parti yang angkat orang muda, bawa politik khidmat dan dasar, dia akan masuk.
“Bermula dari situlah, Amira jadi penggerak Muda. Amira jadi Setiausaha Agung dan berkhidmat untuk Muda kepada negara.
“Saya dan seluruh ahli Muda ucapkan selamat maju jaya kepada Amira Aisya, calon DUN Puteri Wangsa N41 untuk PRN Johor. Jagalah amanah rakyat Johor walau apapun cabaran dan ujian untuk Amira.
“Jalan Tegak, Amira!” kata Syed Saddiq.
Kerusi Puteri Wangsa pada awalnya diperuntukkan buat AMANAH tetapi parti itu bersetuju menyerahkannya kepada Muda untuk bertanding.
Pada PRU lalu, Bersatu menang kerusi Puteri Wangsa dengan majoriti 24,949 undi, semasa masih merupakan sebahagian daripada PH.