Amira Othman terima bunga lagi dari Fattah Amin, sifatkan rakan sekerja ‘the sweetest’

Oleh WAN SITI AMINAH

Akibat keracunan makanan, penyanyi dan pelakon Amira Othman turut mengalami sakit kepala yang disifatkannya sangat dahsyat ekoran berdepan masalah tekanan darah rendah.

Situasi yang dialami menyebabkan pemilik nama sebenar Nadia Amira Othman itu tidak dapat menjawab panggilan telefon mahupun kiriman pesanan ketika masih berada di hospital untuk menerima rawatan.

Perkara itu dimaklumkan oleh selebriti berusia 32 tahun terbabit menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya bersama gambar memaparkan bacaan tekanan darahnya.

Dalam hantaran tersebut, Amira memohon maaf khusus kepada mereka yang mencuba untuk menghubunginya selain turut mengucapkan terima kasih di atas segala doa dikirimkan buatnya.

“Telefon penuh dengan panggilan dan pesanan di aplikasi Whatsapp yang tidak berjawab. Saya ada masa tak boleh tengok telefon sebab pening kepala yang sangat dahsyat. Mungkin sebab tekanan darah hari-hari rendah.

“Tadi pagi-pagi bacaan serendah 67/40 sahaja. Jadi saya minta maaf semua. Kalau yang tak angkat telefon itu, sedang berjuang dengan sakit kepala ini. Terima kasih di atas doa yang baik-baik.

“Semoga kita semua sihat dan dilindungi selalu,” tulis penyanyi yang mula meraih populariti menerusi lagu Hati-Hati itu menerusi satu hantaran dimuat naik di Instagram Story tersebut.

Dalam perkongsian seterusnya, Amira turut memuat naik sekeping gambar memaparkan dua jambak bunga yang diterimanya ketika dirawat di hospital dan mengucapkan terima kasih atas kiriman tersebut.

Difahamkan, salah satu jambak bunga tersebut diberikan oleh pelakon yang digosipkan sedang menjalin hubungan istimewa dengannya iaitu Fattah Amin seperti dinyatakan oleh Amira dalam keterangan gambar.

“Terima kasih Abang Long (gelaran yang diberikan kepada Fattah). Abang Long kamu semua ini ‘is the sweetest’. Lain hari, lain bunga katanya Fattah Amin,” tulis Amira dalam keterangan gambar.

Sekadar info, sejambak lagi bunga dengan ucapan ‘Buat Mira yang rendah hatinya, semoga sembuh dengan cepat’ itu pula dikirimkan oleh pengurus ‘rakan sekerjanya’ iaitu Fattah Amin.

Baca juga: Fattah Amin doakan Amira Othman cepat sembuh, hadiahkan sejambak bunga tulip?