Pempengaruh sensasi, Ammar Nazhan yang sebelum ini menimbulkan kontroversi dengan membuat kandungan ‘orang hilang’ di sebuah hutan di Bandung, Indonesia dihadapkan ke Majistret Kuala Lumpur sebentar tadi.
Tertuduh berusia 29 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di atas pertuduhan melakukan gaduh gempar di sebuah restoran terletak di ibu kota dalam satu perlawanan tinju pada Selasa lalu.
Pemilik nama sebenar Ammar Mohd Nazhan Noralyadi itu bersama seorang lagi pempengaruh, Muhammad Hafizul Haiman, 23, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah seksyen sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Hal ini kerana mengikut pertuduhan, kedua-dua pemuda itu didakwa melakukan gaduh gempar di sebuah restoran di pusat beli-belah di Bukit Bintang pada sekitar jam 10.15 malam, 25 Februari lalu, lapor Harian Metro.
Terdahulu, Hench Goh selaku Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 untuk setiap individu namun peguam, K Ramalingam yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah ditetapkan di tahap minimum.
Hal ini berikutan anak guamnya mencari rezeki sebagai pencipta kandungan yang hanya menjana pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan selain perlu menjaga ibu bapa yang sudah tua walaupun masih belum berkahwin.
Aina Azahra kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selepas mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak dan menetapkan tarikh 14 April untuk sebutan kes.
Terdahulu, pihak polis dilaporkan telah menahan 11 lelaki termasuk pempengaruh media sosial selepas terbabit di dalam rusuhan di sebuah restoran di Bukit Bintang ketika berlakunya satu perlawanan tinju.
Baca juga: Salah faham isu tembikai madu ‘percuma’, peniaga tanggung rugi hampir RM3k