Anak asnaf tak setuju rakan senasib jadi suri rumah, patut ubah nasib keluarga dahulu

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian seorang wanita yang tidak bersetuju dengan keputusan anak asnaf untuk menjadi suri rumah tangga sebaik berkahwin telah mengundang satu perbincangan hangat di media sosial baru-baru ini.

Wanita itu berpendapat bahawa perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku memandangkan mereka seharusnya memberi fokus untuk mengubah nasib keluarga terlebih dahulu berbanding mendirikan rumah tangga.

Menurutnya, anak-anak asnaf perlu memikirkan keadaan ibu bapa yang sebelum ini sanggup bergolok-gadai untuk memastikan mereka dapat membesar dengan baik serta memiliki pendidikan buat bekalan di masa hadapan.

“Anda pula ada adik-beradik kecil. Kemudian habis belajar terus menikah dan menjadi suri rumah. Ini perspektif aku sendiri sebagai anak kepada asnaf. Kita yang berasal dari keluarga miskin ini wajib bercita-cita keluarkan keluarga dari kemiskinan.

“Betul, anak bukan pelan pesaraan ibu bapa. Anak yang tua pula bukan mesin duit untuk adik-beradik lain. Tetapi tengoklah juga situasi dan kesesuaian. Kalau anda berasal dari keluarga asnaf, sudah cukup baik ibu bapa menyara makan minum anda ketika belajar universiti.

“Maka sewajarnya kebaikan ibu bapa dibalas. Izinkan ibu bapa ‘merasa’ waima sedikit hasil kerja anda walaupun sekejap. Mereka memang tak mahu kemewahan dan hasil anda. Tetapi sebagai anak, cuba sedaya upaya bahagiakan ibu bapa sebelum gembirakan anak lelaki orang,” katanya.

Setakat artikel ini ditulis, tinjauan dalam ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Threads memiliki pendapat tersendiri berhubung tanggungjawab anak asnaf selepas menamatkan pengajian.

Sebahagian besar pengguna berkongsi pendapat sama bahawa mereka tidak boleh mementingkan diri sendiri dengan menyumbang kembali bantuan kepada keluarga demi meringankan beban ibu bapa.

Namun ramai juga pengguna berpandangan bahawa ibu bapa tidak sepatutnya meletakkan pengharapan kepada anak-anak yang sudah besar untuk menyara adik-beradik lain memandangkan itu bukan tanggungjawab mereka.

Baca juga: Tak kisah dibayar serendah RM5 atau barang dapur, pemuda diuji sakit tetap cari rezeki