Kesungguhan sebuah keluarga dari Sekinchan, Selangor dalam meraikan 10 orang tetamu yang merupakan rakan sepengajian anak mereka telah mengundang pujian orang ramai, baru-baru ini.
Mana tidaknya, keluarga itu bukan sahaja menyediakan tempat penginapan buat semua tetamu malah sanggup menumbangkan dua ekor kambing untuk disembelih sebagai persiapan menyambut mereka.
Berdasarkan satu hantaran video di platform TikTok, sang ibu memaklumkan bahawa dirinya dihubungi anak yang meminta izin untuk membawa sekitar 10 orang rakan ketika pulang cuti semester.
Sang ibu kemudian memberikan persetujuan dan mula membuat persediaan termasuklah menempah inap desa sebagai tempat penginapan untuk rakan-rakan lelaki anaknya serta memasak pelbagai jenis hidangan.
Difahamkan, proses penyembelihan dua ekor kambing itu dibantu oleh rakan-rakan anaknya dan antara juadah yang adalah dimasak kuzi kambing, kari kepala kambing, kambing golek, ayam panggang dan udang bakar.
“Rasulullah bersabda yang bermaksud: ‘Sesiapa yang menghormati tetamu, maka ia menghormatiku dan sesiapa menghormatiku, maka dia memuliakan Allah dan sesiapa memarahi tetamu, maka dia marah kepadaku dan sesiapa yang marah kepadaku, maka dia memarahi Allah’.
“Baru berkesempatan untuk menyunting video. Terima kasih kepada anak-anak Institut Veterinar Malaysia (IVM) kerana sama-sama merewang untuk menyembelih dan mencincang daging kambing.
“Alhamdulillah, lain kali datanglah lagi kampung kami. Kita bakar mentarang pula (dipercayai sejenis siput),” kata sang ibu menerusi ruangan kapsyen perkongsian dimuat naik di platform TikTok itu.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian rakaman menerusi akaun sang ibu terbabit sudah berjaya meraih mencecah setengah juta tontonan dan 32,700 tanda suka daripada pengguna TikTok.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna memuji kesungguhan keluarga berkenaan dalam menyambut tetamu termasuklah mengorbankan dua ekor kambing.
“Tahniah buat ibu bapa kepada anak ini. Memuliakan tetamu. Sekurang-kurangnya, kita tahu dengan siapa anak-anak berkawan. Tahniah semua. Nampak sedap lauk-pauk itu semua,” kata seorang pengguna.
“Keluarga yang hebat. Semoga dirahmati dan sentiasa dikurniakan limpahan rezeki berterusan, diberkati umur yang panjang, kekal bahagia di dunia serta akhirat.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Bukan biasa-biasa, kelab bola sepak di Iran nak bayar RM1.3 juta untuk pinjam Arif Aiman