Seorang majikan berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi kekesalannya berhubung sikap lepas tangan bekas pekerjanya ketika masih berkhidmat di dalam tempoh percubaan.
Menurut usahawan yang bergiat dalam bidang bakeri itu, bekas pekerja terbabit membuat keputusan mengundur diri secara mengejut tanpa memberikan sebarang notis untuk berhenti berkhidmat.
Tindakan bekas pekerja yang merupakan seorang gadis lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu dikatakan telah melanggar perjanjian dibuat bersama majikan sehingga tidak melayakkannya untuk menerima gaji.
Situasi bagaimanapun menjadi keruh apabila ibu kepada gadis terbabit bertindak ‘campur tangan’ di dalam urusan pembayaran gaji sedangkan anaknya itu tidak berusaha untuk berbincang dengan majikan.
“Ibunya minta purata gaji RM1,500 sebulan iaitu gaji pokok yang kita tawarkan tidak termasuk elaun kerja lebih masa itu untuk didarabkan dengan empat (hari). Padahal anaknya tak membantu dalam proses pengeluaran.
“Masa temu duga, sudah diberitahu bahawa kami perlukan pekerja untuk bahagian pengeluaran khusus bagi projek raya selama dua bulan sahaja. Bukan senang nak melatih orang baharu tanpa pengalaman. Jadi kami letak syarat.
“Kalau kerja kemudian tarik diri dalam tempoh percubaan iaitu satu minggu, tak akan dapat gaji. Waktu ditemu bual kata setuju. Selepas itu tarik diri hari keempat. Tiada notis. Baru ‘briefing’ (beri taklimat), belum lagi sampai proses pengeluaran,” kesalnya.
Majikan itu memaklumkan bahawa bekas pekerja terbabit mengeluh dan memberi pelbagai alasan untuk berhenti berkhidmat termasuklah penat berikutan perlu berdiri lama dan sebagainya.
Perkara itu dikongsikan oleh majikan berkenaan menerusi satu hantaran dimuat naik di platform Threads sebagai pendedahan kepada orang ramai mengenai cabaran dan realiti sebenar yang perlu dihadapi pemilik perniagaan.
Dalam perkongsian sama, pengusaha itu juga mengakui bahawa kejadian tersebut memberikan pengajaran buat dirinya untuk tidak mengambil kakitangan yang dicarikan kerja oleh ibu mereka.

“Pengajaran, jangan beri peluang dekat orang yang mak dia mintakkan kerja. Mak dia marahkan kami sebab tak beritahu tentang syarat pemberian gaji kepada ibu bapa. Saya cakap, kami meniaga. Bukan institusi pendidikan kena beritahu satu-satu.
“Kami beritahu pekerja sebab mereka yang terima gaji. Segalanya ada di dalam surat perjanjian yang sepatutnya ditandatangani selepas tempoh percubaan. Tetapi tak sempat buat apa-apa, anaknya sudah tarik diri.
“Kami juga beritahu dari awal, gaji bukan ikut hari. Tetapi per projek. Kalau tarik diri sebelum projek mula, macam mana nak bayar gaji. Saya telefon anaknya minta beritahu dekat ibu bapanya, apa yang dia janji semasa temu duga. Dia cakap lupa sebab banyak benda kena ingat,” katanya.
Majikan itu kini sedang menunggu surat aduan daripada ibu bekas pekerjanya memandangkan wanita berkenaan menggertak mahu mengambil tindakan undang-undang sekiranya gaji anaknya tidak dibayar.
Baca juga: Minta sedekah secara paksa, warga emas ditahan, polis jumpa duit lebih RM10k dalam plastik