Satu rakaman memaparkan gelagat seorang kanak-kanak yang kelihatan ‘selamba’ ketika mengikuti hari pertama sesi persekolahan telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru ini.
Mana tidaknya, kanak-kanak itu bukan sahaja langsung tidak kelihatan sedih seperti murid-murid sekolah yang lain secara umumnya sebaliknya tampak sangat tenang ketika berada di dalam kelas.
Berdasarkan rakaman tular dimuat naik di platform TikTok itu, kanak-kanak terbabit dilihat menyilangkan tangannya sambil memandang ke arah hadapan dipercayai untuk memberi tumpuan kepada gurunya.
Kanak-kanak itu kemudian memberikan isyarat tangan kepada ibu bapanya yang berada di luar kelas bertujuan untuk ‘menghalau’ mereka pulang ke rumah sahaja dan tidak menunggunya di situ.
Rakaman itu dipercayai diambil di sekitar Ajil, Terengganu semalam berdasarkan lokasi dipaparkan dalam hantaran tersebut yang mana negeri pantai timur berkenaan sudah memulakan sesi persekolahan pada hari Ahad.
“Anak orang lain ada menangis, suruh mak ayah tunggu. Boleh ke Mat Hud (gelaran anak) jadi lagu (macam) lain,” kata sang bapa di dalam ruangan kapsyen video dimuat naik di akaun TikTok miliknya itu.
Memandangkan usianya baru lima tahun, murid terbabit dipercayai mengikuti pembelajaran di pusat sebuah taska yang mana sang bapa memaklumkan anaknya hanya bermain lego pada hari kejadian.
Bapa itu bagaimanapun tidak menyangka anaknya bakal menunjukkan sikap kematangannya pada hari pertama persekolahan dengan menyatakan hasratnya untuk tidak ditemani ketika mengikuti sesi pembelajaran.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 877,500 tontonan daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya mengakui terhibur dengan gelagat kanak-kanak berkenaan.
Mereka juga mengakui bahawa sesi memujuk murid di minggu pertama persekolahan sememangnya perkara yang cukup mencabar dan sikap ditonjolkan oleh Hud itu bakal disenangi oleh guru-gurunya.
Baca juga: Trauma lama belum habis, Shahrol Shiro sekali lagi ‘terdiam’ depan sekolah