Tidak kira di mana ilmu ditimba, sama ada di universiti ternama atau institut kemahiran, siapa yang rajin berusaha pasti mampu mencapai kejayaan yang bukan saja mengubah hidup, malah turut mengharumkan nama negara.
Seorang graduan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah MARA dikenali sebagai Ibrahim diterima bekerja sebagai mekanik kapal terbang di sebuah syarikat penerbangan antarabangsa.
Bukan lulusan universiti ternama, tapi Ibrahim hanya berbekalkan Sijil Teknologi Fabrikasi dari Institut Kemahiran MARA (IKM) Kampung Pandan.
Namun jangan pandang rendah, kini Ibrahim bekerja dengan Qatar Airways sebagai mekanik badan kapal terbang dengan gaji lumayan antara RM17,000 hingga RM20,000 sebulan.
Menerusi Facebook Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, beliau berkongsi kisah disebalik pertemuan bersama pemuda berkenaan.
“Wow! Hebat anak muda berasal dari Merlimau Melaka yang bernama Ibrahim ini.
“Menurut Ibrahim, semua batch dia lepasan IKM Kuala Lumpur dapat pekerjaan bergaji serupa dalam bidang sama dengan beliau.
“Beliau amat berbangga menjadi anak MARA,” kongsinya di Facebook.
Siapa kata lulusan TVET tak boleh berjaya?
Jelas Asyraf Wajdi, ini membuktikan bahawa bidang kemahiran dan vokasional yang ditawar oleh MARA mampu mengubah nasib anak muda.
“Bidang kemahiran dan vokasional yang ditawarkan oleh MARA sama ada di GiatMARA, Institut Kemahiran MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Malaysia-Japan Industrial Institute (MJII) mahupun di peringkat tertinggi seperti UniKL dan GMI boleh melahirkan anak muda berjaya.
“Ia terbukti mampu melahirkan ramai tenaga kerja mahir bukan sahaja untuk negara bahkan ke peringkat antarabangsa.
“Ibrahim satu contoh bagaimana hanya dengan sijil kompetensi dan profesional bidang TVET boleh mendapat kerja bergaji besar hingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Hanya dengan ilmu boleh merubah kehidupan! MARA terus mendunia,” tambahnya.
Baca juga: Kenderaan Singapura masuk Malaysia tapi tak daftar VEP? Siap sedia kena saman lepas Julai