Anak kepada Allahyarham seniman terkenal Harun Salim Bachik mengingatkan industri penyiaran bahawa entiti itu mempunyai tanggungjawab besar membentuk moral masyarakat.
Tidak menyalahkan mana-mana pihak, Danial Al Rashid Haron menasihatkan agar stesen penyiaran memastikan kandungan yang disiarkan tidak melanggar sensitiviti masyarakat dan mematuhi garis panduan ditetapkan pihak berkuasa.
Melihat kes yang berlaku terhadap Era FM, beliau berkata penting untuk peringkat editorial membuat tapisan sekiranya menyentuh sensitiviti, atau menyediakan penafian lebih awal sekiranya kandungan berniat untuk tujuan didikan.
“Sebagai anak kepada seorang seniman, saya percaya bahawa industri penyiaran mempunyai tanggungjawab yang besar dalam membentuk budaya dan moral masyarakat.
“Apapun yg dibuat oleh artis akan sentiasa dilihat ikon atau ikutan. Kalau baik, maka baik ikutan itu.
“Pihak media harus mengutamakan kualiti dan tanggungjawab sosial dalam hiburan, dan memahami bahawa kesilapan seperti ini bukan sahaja boleh membawa akibat undang-undang, tetapi juga boleh menjejaskan reputasi syarikat dan merosakkan kepercayaan penonton,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.
Beliau mengulas isu ketelanjuran tingkah laku tiga penyampai radio Era FM baru-baru ini yang didakwa mempersenda agama Hindu sehingga pengendali stesen radio itu dikompaun RM250,000.
Mengenai jumlah kompaun yang dikenakan sehingga menjadi pertikaian ramai pihak, Danial percaya mahkamah telah menetapkan denda atas fakta dan asas yang kuat.
“Ia adalah pindaan baharu Akta 588 yang boleh dikenakan maksimum RM500,000. Sudah tentu pihak mahkamah menetapkan atas fakta dan asas yang kuat. Itu saya beri kepercayaan kepada sistem kehakiman Malaysia,” katanya lagi.
Peguam anggap Akta 588 pindaan 2025 kali ini ada taring baharu berbisa
Sementara itu mengulas dari sudut undang-undang, seorang peguam berkata stesen radio itu masih boleh lawan di mahkamah jika tidak mahu membayar kompaun kerana ada justifikasi bahawa penyampai mereka hanya meniru tarian Mikey Ghazali.
Namun jika pihak syarikat memilih untuk membayar kompaun, “maka siapalah kita nak jadi ‘nasi tambah’ atau ‘busy body’ dalam urusan orang lain”.
Kata Zulqarnain Luqman, Akta Komunikasi dan Multimedia Pindaan 2025 ini menarik kerana mempunyai “taring” baharu yang berbisa.
Dengan pindaan baharu ini, jika pihak berkuasa menjalankan tugas dan amanah yang diberi, gejala maki hamun, takfiri, ghuluw, berperangai tidak senonoh dan jelik melampau di media sosial akan dapat dibendung.
“Kes DJ Era ini mungkin adalah kes pertama berkaitan kompaun yang menggunakan pindaan baharu.
“Sejauh manakah pihak berkuasa betul-betul akan menguatkuasakan Seksyen 233 yang baharu ini sama-samalah kita nantikan.
“Apa pun oleh kerana kuasa pihak berkuasa di bawah pindaan baharu ini sangat besar, kita harapkan pihak berkuasa tidak menyalahgunakan Seksyen jni secara zalim dan tidak adil.
“Mungkin pihak kementerian boleh menggubal peraturan kecil untuk mengawal selia hal ini supaya tiada orang yang teraniaya dengan keluasan Seksyen 233 yang baharu,” katanya.
Baca juga: “Mati ke kalau tak makan!” – Suami marah isteri depan ‘cashier’ sebab minta kerepek kentang segera