Anak tak songsang, ibu yakin mangsa dipaksa PU Azman

Oleh KIM SYAZIE

Saksi kelima kes amang seksual melibatkan pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman yakin anaknya tidak songsang tapi dipaksa tertuduh.

Saksi yang juga ibu kepada manga memberi keterangan dalam prosiding hari kedua kes tersebut di hadapan Hakim Datin Surita Budin di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.

Menurut Kosmo, wanita tersebut menyatakan anak lelakinya yang berusia 18 tahun memaklumkannya bahawa dia dicabul PU Azman.

Mangsa memaklumkan hal tersebut dalam perbualan di dapur rumah mereka di Klang, Selangor antara 21 hingga 29 Ogos 2022.

“Dia (anak) lelaki normal, saya tahu anak bukan macam itu (songsang). Dia cakap PU Azman pegang-pegang tetapi dia tidak kata pegang di mana mungkin dia segan nak cakap.

“Saya terkejut dan tergamam bila dapat berita ini, anak kata jangan beritahu ayah sebab dia tahu ayahnya tegas,” katanya seperti dipetik Kosmo.

Tambahnya, dalam tempoh seminggu tersebut anaknya mendapat cuti sakit selepas terlibat dalam kemalangan motosikal dan hanya berada di rumah.

Saksi tersebut yakin anaknya tidak menipu dalam kes menjadi mangsa amang seksual PU Azman walaupun dia hanya mengenali penceramah itu di televisyen.

Dalam pada itu ketika disoal oleh peguam yang mewakili PU Azman, Fahmi Adilah bahawa adakah dia mengetahui anaknya pernah meminta wang daripada tertuduh.

Wanita itu menjawab tidak tahu, namun satu transaksi wang berjumlah RM200 pernah dimasukkan ke dalam akaun banknya daripada pengirim bernama Azman Syah pada 27 Ogos 2022 dengan rujukan rawatan kemalangan.

“Masa itu saya tidak tahu nama sebenar PU Azman adalah Azman Syah Alias, anak hanya minta nombor akaun bank kerana nak pulangkan duit sebab tersalah buat pesanan.

“Saya pun tidak tanya lanjut, anak kata kawan yang masukkan duit, lepas 2 September 2022 baru saya tahu nama sebenar PU Azman daripada pegawai polis,” katanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi, Husni Fairos Ramly dan Goh Hsiao Tung manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad, Fahmi Adilah dan Norman Mohd Nasir.

Seramai 26 orang saksi dijangka akan dipanggil sepanjang kes perbicaraan tersebut yang bermula hari ini hinga 28 Julai depan.

Baca juga: Dituduh lakukan jenayah seksual, PU Azman akui masih terima jemputan ceramah