Siapa sangka, anak-anak tergamak menempatkan warga emas yang merupakan bapa kandung mereka sendiri di kawasan belakang rumah berdekatan dengan kandang lembu.
Bukan cerita rekaan, namun itulah kejadian sebenar yang berlaku terhadap seorang lelaki berusia sebelum dihantar ke sebuah pusat jagaan khusus buat warga emas terletak di Gurun, Kedah.
Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Pertubuhan Jariah Qaseh Malaysia, Natipah Abu yang turut menubuhkan pusat jagaan rumah orang tua menerusi satu sesi temu bual bersama Mingguan Wanita.
Menurut Natipah, warga emas terbabit dihantar ke pusat jagaannya dalam keadaan menghidap penyakit kencing manis oleh waris dipercayai anaknya dengan alasan tidak boleh memeliharanya kerana bekerja.
“Mula-mula pak cik ini duduk di dalam rumah. Kemudian mereka bergaduh sebabnya tiada persetujuan mengenai sesuatu perkara. Selepas itu, dia difahamkan ditempatkan di belakang rumah, dekat dengan kandang lembu.
”Itulah antara kejadian yang saya tak mampu lupakan. Pak cik ini dihantarkan ke rumah jagaan dalam keadaan yang sudah sakit oleh warisnya. Dia sakit buah pinggang tetapi saya rasa anaknya macam tak nak faham.
“Tak faham yang sebenarnya, bapanya sudah tak banyak hari (nak hidup). Ujian untuk mereka sebenarnya. Tetapi anak-anak ini tak sedar. Pak cik ini juga tak tahu anaknya sudah tak mahu dekat dia,” katanya.
Berjaya mengundang perhatian ramai, sesi temu bual Mingguan Wanita bersama aktivis yang mesra disapa Kak Pah itu turut dikongsikan menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok.
Menurut aktivis itu, warga emas berkenaan tetap berkeras mahu pulang ke rumah dan menghubungi warisnya bagi menjemputnya dengan alasan pihak pusat jagaan yang memberikan pelepasan cuti.
“Sampailah satu masa, pak cik ini menghubungi warisnya. Dia beritahu, saya benarnya pulang ke rumah untuk cuti. Pak cik ini mengemaskan barangnya dan warisnya juga datang jemput pulang ke rumah.
“Namun mereka menghantar pak cik ini semula kepada kami. Tetapi pak cik ini tak mahu turun dari kereta itu. Jadi mereka heret dia letak di halaman rumah jagaan di dalam keadaan cuaca tengah panas.
“Kemudian warisnya beredar. Pak cik ini terduduk di lantai halaman itu kerana terlalu penat. Selepas saya sampai di situ, terus hubungi ambulans kerana keadaannya sudah teruk dengan perut kembung dan kepenatan,” ujarnya.
Selepas kejadian itu, warga emas terbabit akhirnya dapat menerima takdir dan memahami bahawa anaknya tidak mahu lagi menjaganya lalu menghabiskan sisa hidupnya tanpa kehadiran mereka.
Baca juga: Makin ramai guna cara ini untuk lalu lorong RFID secara percuma