Ancaman IS: Pemimpin PAS seru umat Islam berwaspada

Oleh BORHAN AHMAD

Masyarakat Islam perlu berhati-hati dalam berdepan dengan serangan pengganas kerana dibimbangi wujud pihak yang mengambil kesempatan, tegas pemimpin Pas, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz OmarMenurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, umat Islam dan masyarakat antarabangsa wajar mengerakkan kempen menolak tindakan militan IS serta pihak berkepentingan antaranya seperti Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan agensi keselamatan Israel, Mossad.

“Saya agak gusar elemen IS yang berlaku ini, di samping kejadian-kejadian tidak bertamadun berlaku di Syria dan Iraq. Kegusaran saya ialah sekiranya ada pihak tertentu mengambil kesempatan di atas kejadian ini, iaitu mereka yang berkepentingan seperti CIA, Mossad mahupun KGB.

“Perlu kita ingat bersama bahawa mereka yang berkepentingan ini mempunyai kebolehan untuk merekacipta ‘kumpulan kumpulan baru’ seperti Taliban yang jelas ditubuhkan oleh CIA satu ketika dahulu,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, masyarakat Islam bertanggungjawab menjauhi diri daripada dipengaruhi dan diresapi pemikiran IS ekoran pergolakan berpanjangan di Timur Tengah serta serangan di Istanbul dan Jakarta awal tahun baharu 2016 ini.

“Sekiranya benar IS yang bertanggungjawab maka sudah jelas bahawa mereka ini tidak mewakili kumpulan atau mana-mana gerakan Islam kerana tindakan mereka ini tidak menuruti cara Islam.

“Menjadi satu tanda tanya kenapa IS dikatakan mula melaksanakan agenda-agendanya di Negara-Negara umat Islam? Sekiranya mereka (IS) ini benar sebagai kumpulan Islam, sesuatu yang sangat pelik dan menimbulkan persoalan kenapa mereka memusnahkan sesama Islam dan membunuh manusia yang tidak berdosa?” bidasnya.

Mengutuk keras pengeboman di Jakarta dan Istanbul yang dianggapnya tidak bertamadun dan bertentangan daripada arus syariah Islam, budaya serta kewarasan akal manusia sejagat, Mahfuz merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa terlibat.

“Moga Allah akan menyelamatkan kita semua dan memberikan kefahaman, penghayatan dan menyempurnakan penyebaran mesej Islam sebagai agama keamanan,” tambahnya lagi.

Dalam hal berkaitan, umat Islam berpendapat perang terhadap Iraq pada 2003 serta tragedi pengeboman Menara WTC di New York pada 11 September 2001 lalu dalangi oleh CIA dan Mossad seperti turut disebut oleh Samuel P.Huntington dalam bukunya, ‘Who Are We? The Challenges to America’s National Identity’ (2004).