Presiden Indonesia, Joko Widodo menyifatkan siri letupan di Jakarta yang menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terkorban adalah ‘tindakan keganasan’.
“Negara kita dan rakyat kita tidak sepatutnya berasa takut, kita tidak akan dikalahkan oleh tindakan keganasan ini, saya berharap rakyat tetap tenang,” katanya menerusi stesen televisyen MetroTV.
“Kita berdukacita dengan mangsa yang terkorban tapi kami mengutuk tindakan yang mengganggu keselamatan dan keamanan dan menyebar keganasan di kalangan rakyat,” dipetik AFP.
Media tempatan Indonesia melaporkan sekurang-kurangnya enam letupan di sekitar kawasan Sarinah, Jalan MH Thamrin, Jakarta hari ini.
Letupan pertama berlaku jam 10 pagi waktu tempatan dan letupan kedua berlaku pada jam 10.50 pagi manakala ketiga berlaku enam minit kemudian.
Letupan keempat terjadi pada jam 11 pagi, diikuti dengan ledakan kelima dan keenam tidak lama kemudian.
Sebuah pos kawalan polis yang terletak di hadapan pusat beli-belah Gedung Sarinah mengalami kerosakan teruk.
Kira-kira 500 polis dikerah untuk menangani situasi di kawasan itu.
Ketua Bahagian Perhubungan Masyarakat Polis Republik Indonesia (Polri) Inspektor Jeneral Anton Charliyan meminta masyarakat untuk menghindari sekitar lokasi kejadian.
Pihak polis pada peringkat awal mengkategorikan insiden itu sebagai serangan pengebom berani mati.
Helikopter juga dikerahkan untuk memantau situasi keadaan di Jakarta bagi menjejaki dan memantau keadaan.