“Andai saya melangkah lagi ke gerbang perkahwinan, biarlah bawa ke akhir hayat”- Erra Fazira

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon jelita, Erra Fazira tidak menolak takdir sekiranya dipertemukan jodoh untuk masuk ke gerbang perkahwinan dan kembali mendirikan rumah tangga buat kali ketiga.

Namun pelakon berusia 51 tahun itu juga reda seandainya ditakdirkan untuk hidup sendiri hingga akhir hayat ekoran pernah mengalami kegagalan rumah tangga sebanyak dua kali sebelum ini.

Hal ini berikutan pemilik nama sebenar Fazira Wan Chek itu sudah berdamai dengan takdir dan akan mengikuti segala aturan yang telah ditetapkan terhadapnya oleh Yang Maha Esa.

Perkara tersebut didedahkan oleh pelakon filem Hingga Hujung Nyawa itu di dalam satu sesi ‘podcast’ atau audio siar iaitu Ruang Cerita Zayan yang mana rakamannya juga dimuat naik di platform Youtube.

“Andai Allah kata adanya jodoh, saya terima. Jika tiada pun saya terima. Saya rasa tiada manusia nak hidup keseorangan dan kesunyian. Sekiranya tiada jodoh, saya berdoa agar Allah sentiasa cukupkan rasa kasih sayang daripada ibu atau rakan-rakan.

“Jika hidup seorang, tetapi sunyi, sepi dan kemurungan juga tak bagus. Jadi apapun aturan Allah, asalkan dapat berdamai dengan takdir,” katanya dalam program yang dikendalikan oleh Faizal Ismail dan Nana Mahzan itu.

Dalam pada itu, Erra dalam perkongsian yang sama turut berkongsi harapannya supaya perkahwinan ketiga kekal sehingga ke akhir hayat sekiranya kembali dipertemukan dengan ‘jodoh terakhir’.

Jelas Erra yang juga bergelar penyanyi itu, tiada pasangan di dalam dunia ini mahukan perkahwinan dalam tempoh singkat namun wanita berkenaan sekali lagi menegaskan untuk tetap berpegang kepada takdir.

“Tiada pasangan inginkan perceraian, tetapi saya sentiasa percaya kepada aturan Allah. Sesiapa sahaja melangkah kaki ke alam rumah tangga pastinya mengharapkan itu adalah jodoh terakhir.

“Paling bahagia dan segala yang indah-indah. Begitu juga saya. Andainya melangkah ke gerbang perkahwinan sekali lagi, biarlah ini yang terindah dan membawa hingga ke akhir hayat.

“Tidak ada orang yang berumah tangga hanya meletakkan sasaran untuk hidup bersama dalam dua tiga tahun. Apa pun macam saya cakap, saya selalu percaya kepada aturan Allah,” ujar Erra lagi.

Terdahulu, Erra dilaporkan sedang berkawan rapat untuk mengenali hati budi seorang pemuda berusia 44 tahun yang juga merupakan usahawan dikenali sebagai Mr E atau Ezwan Zain.

Sekadar info, Erra Fazira sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah dan penyanyi terkenal iaitu Datuk Yusry Abdul Halim atau Yusry KRU pada 2003 lalu sebelum bercerai sekitar tahun 2006.

Pasangan itu bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata dan Erra kembali mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan ahli perniagaan, Engku Emran pada 25 Oktober 2007.

Mereka berdua kemudian memutuskan untuk berpisah pada 18 Februari 2014 namun mengekalkan hubungan baik bagi menjaga anak tunggal mereka, Engku Aleesya yang kini berusia 16 tahun.

Baca juga: Lelaki kongsi menu nasi lemak cendol buat netizen loya