Angeline Tan dedah dah setahun tak dapat tawaran berlakon sejak bertudung, tetap yakin rezeki Tuhan

Oleh KIM SYAZIE

Pelakon Ardini Angeline Tan mendedahkan bahawa dia sehingga kini masih belum mendapat sebarang tawaran berlakon selepas hampir setahun bertudung dan memeluk Islam.

Angeline mengakui situasi itu agak berbeza dengan dirinya sebelum ini yang sudah terbiasa dengan sibuk bekerja.

Namun pelakon berusia 57 tahun ini tetap yakin dengan takdir Tuhan bahawa setiap manusia ada rezeki mereka masing-masing.

“Sejujurnya sejak bertudung sampai sekarang saya masih belum mendapat sebarang tawaran berlakon.

“Memang rasa agak berbeza sedikit kerana sebelum ini saya memang sudah terbiasa sibuk. Tetapi sekarang tiada kerja pula. Apa-apa pun saya percaya dengan takdir Tuhan bahawa setiap daripada kita ada rezeki masing-masing.

“Ada waktu itu rezeki saya, ada waktu rezeki orang lain. Paling penting kita percaya dengan rezeki Allah. Mungkin Allah tidak berikan rezeki saya di sini (berlakon), rezeki saya ada di tempat lain,” katanya memetik laporan Kosmo!

Dalam pada itu, isteri kepada pelakon dan pengarah Sabri Yunus itu turut menafikan dakwaan mengatakan dia bersedia membawa watak wanita tidak bertudung.

Dia juga mendedahkan sepanjang lebih 30 tahun dalam industri, dia tidak pernah meminta tawaran berlakon daripada sesiapa. 

“Walaupun baik dengan abang Sabri, tetapi saya tidak mengharapkan kepada sesiapa,” katanya lagi.

Baca juga: Pemilik restoran bongkar cara simpan santan segar kalau tiada peti ais, tahan 3 hari!